Siapa sangka, di sebalik kapal gergasi yang berlabuh di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor, ada tangan seorang anak Sarawak yang membimbingnya dari laut lepas iaitu Kapten Emanuel, malim pelabuhan wanita kedua di Malaysia.
Menerusi video temu bual di laman sosial Jabatan Laut Malaysia yang dimuat naik pada Khamis (23 Okt 2025), wanita ini berasal dari Miri dan merupakan anak bongsu daripada empat beradik kepada pasangan guru.

Kapten Emanuel kini sudah empat tahun mengemudi kapal masuk dan keluar dari pelabuhan, satu tugas yang menuntut ketelitian luar biasa serta kemahiran tinggi.
“Setahun saya kendalikan sekitar 700 kapal. Kalau dikira empat tahun, 2,800 kapal dah saya bawa,” katanya.
Sebagai Harbour Pilot atau Marine Pilot, tugasnya bermula apabila kapal menghampiri kawasan pelabuhan. Di situ, beliau akan naik ke atas kapal dan mengambil alih panduan navigasi hingga kapal itu berlabuh dengan selamat.
“Pelabuhan ini biasanya sempit dan sibuk, jadi ia memerlukan khidmat malim pelabuhan yang mahir. Skill untuk membawa kapal ke dalam pelabuhan sangat spesifik,” jelasnya.

Setiap hari, beliau boleh mengendalikan sehingga tujuh kapal, manakala tempoh untuk selesai mengendalikan satu-satu kapal bergantung pada saiz kapal.
“Kalau kapal besar, proses lebih lama. Untuk ‘parking’, kami perlukan bantuan tug boat untuk tolak kapal ke jeti. Saya yang beri arahan kepada mereka,” katanya.
“Saya banyak bergantung pada peralatan navigasi kapal dan panduan dari menara kawalan di darat. Kadang-kadang saya kena bawa kerusi kecil supaya nampak keluar tingkap,” tambahnya.
Untuk sampai ke tahap ini bukan mudah. Menurutnya, lesen Malim Pelabuhan di Malaysia terbahagi kepada empat peringkat — C, B, A1 dan A (Unrestricted), yang membolehkan seseorang membawa semua jenis kapal.