Hospital Umum Sarawak laksana pembedahan epilepsi pertama di Sarawak

Hospital Umum Sarawak (HUS) mencipta sejarah apabila berjaya melaksanakan pembedahan rangsangan saraf vagus (Vagus Nerve Stimulation, VNS) pertama di Sarawak serta dua pembedahan Anterior Temporal Lobectomy (ATL) yang pertama pada 23 Oktober lalu.

Pencapaian itu menjadikan Sarawak sebagai negeri yang memiliki kepakaran menjalankan pembedahan otak berteknologi tinggi bagi merawat pesakit epilepsi kronik, tanpa perlu dihantar ke Semenanjung Malaysia.

Menurut HUS dalam satu kenyataan, kejayaan bersejarah itu membuka era baharu rawatan epilepsi di negeri ini dan menjadi sinar harapan kepada pesakit yang sebelum ini terpaksa menjalani rawatan jauh dari keluarga dan komuniti sendiri.

Inisiatif pembedahan epilepsi di HUS mula diperkenalkan oleh Dr. Lim Swee San, yang mempelopori pembedahan epilepsi pediatrik beberapa tahun lalu dengan kerjasama Dr. Ahmad Rithaudin Mohamed, Pakar Neurologi Pediatrik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Usaha awal ini menjadi asas kukuh kepada pembangunan salah satu perkhidmatan bedah saraf paling maju di Sarawak hari ini,” menurut kenyataan itu.

Perkembangan pembedahan epilepsi turut memperkukuh program neuromodulasi HUS yang berkembang pesat selepas kejayaan lapan pembedahan rangsangan otak dalam (Deep Brain Stimulation, DBS) bagi pesakit penyakit Parkinson dan gangguan pergerakan lain.

HUS memaklumkan, kejayaan tersebut dicapai hasil bimbingan Profesor Dato’ Dr. Abdul Rahman Izani Ghani, yang membantu meletakkan asas bidang pembedahan saraf fungsional di hospital berkenaan.

Dengan pengenalan teknologi Vagus Nerve Stimulation (VNS), HUS kini menawarkan rangkaian lengkap rawatan neuromodulasi untuk pesakit seluruh Sarawak, termasuk potensi peluasan kepada rawatan pemulihan selepas strok.

Perkembangan itu turut didukung melalui kerjasama dengan PINS, sebuah syarikat neuromodulasi terkemuka dari China yang bekerjasama dengan Universiti Tsinghua dan pusat sains saraf antarabangsa lain.

Pembedahan bersejarah itu dijayakan oleh pasukan multidisiplin HUS yang diketuai Ketua Jabatan Bedah Saraf, Dr. Donald Liew Ngian San, bersama pakar-pakar dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) — Profesor Dr. Vairavan Narayanan, Profesor Dr. Lim Kheng Seang dan Profesor Madya Dr. Fong Si Lei.

Turut terlibat dalam pasukan bedah epilepsi ialah Dr. Lim Swee San, Dr. Alyssa Ooi, Dr. Linda Then Yee Yen, Dr. Wong Li Mei, Dr. Chhoa Keng Hong, Jabatan Radiologi serta pasukan kejururawatan diketuai Jururawat Kanan Bensy Jagu.

Kejayaan ini turut mendapat sokongan penuh Pengarah HUS, Dr. Ngian Hie Ung, yang memainkan peranan penting memastikan perancangan dan pelaksanaan pembedahan berjalan lancar.

“Kejayaan ini adalah hasil semangat berpasukan serta kepimpinan kukuh dalam memperkukuh keupayaan perubatan Sarawak demi manfaat rakyat negeri ini,” jelas kenyataan itu.

Menurut HUS, kemajuan tersebut selaras dengan visi Profesor Dr. Sim Kui Hian, yang komited memperkukuh autonomi penjagaan kesihatan di Sarawak dan memastikan rakyat negeri ini mendapat akses kepada rawatan moden bertaraf dunia tanpa perlu keluar dari negeri sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *