Seorang pekerja ladang warga Indonesia maut selepas disambar buaya ketika menimba air di tebing sungai berhampiran Ladang Tanjung Payung, Suai Niah, Jalan Persisir Pantai Miri–Bintulu pada Rabu (29 Okt).
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.34 pagi dan menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah ke lokasi kejadian.
Mangsa dikenali sebagai Muhlis Tentra, 47, dikatakan sedang menimba air bersama dua rakannya sebelum tiba-tiba diserang reptilia berkenaan.
Menurut jurucakap itu dalam kenyataan, saksi memaklumkan mangsa sempat menghulurkan tangan meminta pertolongan sebelum dibaham dan ditarik masuk ke dalam air oleh buaya terbabit.
Setiba di lokasi pada jam 12.20 tengah hari, pasukan bomba menjalankan operasi pencarian menggunakan kaedah surface searching dan grappling iron dengan radius pencarian kira-kira 700 meter ke hulu dan ke hilir sungai.
“Pada jam 4.40 petang, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sempurna kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia,” jelas kenyataan itu.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Tinggi II Rary Anak Binjie itu melibatkan enam anggota dengan bantuan sebuah pacuan empat roda dan sebuah bot aluminium.
Turut berada di lokasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi urusan siasatan.
