Pegawai polis diserang guna pisau pemotong daging, suspek lelaki berusia 36 tahun ditangkap

Pada 2 November 2025, Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu telah mengesahkan tangkapan terhadap seorang suspek yang disyaki melakukan kesalahan menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam semasa menjalankan tugas.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika pihak polis sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan Waterfront sempena Regatta Sarawak 2025.

“Mangsa merupakan seorang pegawai kanan polis berpangkat Inspektor yang sedang bertugas telah diserang oleh suspek menggunakan sebilah pisau pemotong daging.

“Suspek telah melibas senjata tersebut ke arah mangsa sehingga menyebabkan pakaian seragam mangsa mengalami koyakan kecil pada bahagian lengan kiri. Walau bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin (3 Nov).

Suspek yang berjaya ditangkap berusia lingkungan 36 tahun dan mempunyai dua rekod jenayah lampau atas kesalahan jenayah. Hasil saringan awal ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tiga tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali.

Ketua Polis Daerah Kuching turut menyeru orang ramai agar tampil menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian ini dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-244444 atau Pegawai Penyiasat Kes, Insp. Ridzainuddin Rosley di talian 010-9431449.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *