Dua lagi khazanah alam Sarawak melonjak ke pentas antarabangsa apabila Taman Negara Bako dan Taman Negara Bukit Lambir diiktiraf sebagai ASEAN Heritage Parks (AHP), sekali gus mengangkat negeri ini sebagai penyumbang terbesar kepada rangkaian kawasan perlindungan berprestij itu di Malaysia.
Pengiktirafan itu dimuktamadkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Alam Sekitar ke-18 (AMME-18) di Langkawi pada 3 September 2025, yang dipengerusikan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga memangku tugas sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Dengan pengiktirafan baharu ini, Sarawak kini memiliki tiga AHP, termasuk Taman Negara Gunung Mulu yang tersenarai sejak 1984. Malaysia secara keseluruhan mempunyai tujuh AHP, termasuk Taman Negara Kinabalu di Sabah serta Taman Negara dan Endau Rompin di Semenanjung.
“Kejayaan ini adalah hasil kolaborasi erat antara kerajaan negeri, Sarawak Forestry Corporation (SFC) serta pihak berkepentingan lain dalam memastikan pemuliharaan biodiversiti negeri sentiasa menjadi keutamaan,” menurut kenyataan NRES pada 5 September 2025.
AHP ialah inisiatif ASEAN untuk melindungi kawasan yang mempunyai biodiversiti unggul, ekosistem unik dan warisan semula jadi bernilai tinggi.
Menurut NRES, kejayaan ini seiring dengan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030, selain mengukuhkan imej Malaysia di mata dunia sebagai negara yang komited dalam pemuliharaan alam sekitar.
Pengiktirafan itu juga amat signifikan kerana berlangsung semasa kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, yang menyerlahkan kepimpinan negara dalam agenda biodiversiti rantau ini.