Pasukan Axis Track & Field Kuching mengungguli Kejohanan Trek dan Balapan Terbuka Sibu 2025 apabila meraih gelaran juara keseluruhan bagi kategori lelaki dan perempuan terbuka.
Dalam saingan lelaki terbuka, pasukan itu menewaskan Kairos Athletics Miri yang berada di tempat kedua, manakala Motion Athletics Miri sekadar berpuas hati di tempat ketiga.
Kejayaan sama turut dilakar dalam kategori perempuan terbuka apabila Axis Track & Field sekali lagi muncul juara, diikuti SMK Katibas di tempat kedua dan SMK Chung Hua Miri di kedudukan ketiga.
Kejohanan tahunan anjuran Persatuan Olahraga Sibu itu berlangsung di Stadium Tun Ahmad Zaidi, Sibu, menghimpunkan lebih 1,200 atlet dari seluruh Sarawak termasuk Sabah.
Majlis penutupan serta penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Ahad (7 Sept 2025).
Menurut beliau, kejohanan seumpama itu bukan sahaja medan menguji ketahanan dan kehebatan atlet, malah menjadi platform pendedahan awal untuk bakat baharu dalam arena olahraga.
“Kejohanan ini memberi peluang kepada atlet menimba pengalaman berharga untuk melangkah lebih jauh dalam karier sukan masing-masing,” katanya.