Mayat seorang lelaki warga India yang dilaporkan hilang di Sungai Kuala Tutoh, Baram, sejak Rabu lalu, ditemui pada pagi Jumaat dalam keadaan tragis tanpa tangan kiri, dipercayai dibaham buaya.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa dikenali sebagai Prashant, 21 tahun, ditemukan pada jam 9.30 pagi, kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
“Ketika pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menjumpai mangsa, seekor buaya dilihat sedang menggigit tangan kirinya. Keseluruhan tangan kiri mangsa hilang dan dikhuatiri dibaham buaya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat (7 Nov).
Menurut jurucakap itu, mayat kemudian dibawa menggunakan bot penyelamat ke dermaga berhampiran sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Makluman daripada pihak polis, punca mangsa lemas masih belum dapat dipastikan sama ada berkait dengan buaya atau sebaliknya. Mayat dibawa ke hospital bagi tujuan bedah siasat,” katanya.
Operasi SAR diketuai Pegawai Bomba Kanan I Nasir Haji Razali dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi dengan kekuatan empat anggota, menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Triton dan sebuah bot aluminium.
Turut membantu operasi ialah anggota PDRM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Operasi yang dijalankan sejauh 60 kilometer dari BBP Marudi itu ditamatkan pada jam 11 pagi selepas mayat diserahkan kepada pihak berkuasa.
Kejadian berlaku pada 5 November lalu apabila Balai Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi berhubung kehilangan seorang krew kapal di Hilir Kampung Kuala Tutoh, Baram.
Terdahulu, mangsa dikatakan mandi di sungai dengan berenang dari kapal menuju ke kawasan pasir di tepi sungai sebelum ribut kuat melanda menyebabkan kapal beralih ke tengah sungai.
“Mangsa kemudian cuba berenang semula ke arah kapal yang dianggarkan berada kira-kira 30 meter dari pantai namun tiba-tiba hilang daripada pandangan saksi dan tidak sempat diberikan bantuan pelampung.
Tiada individu lain terjun ke sungai bagi menyelamatkan mangsa kerana kawasan itu dipercayai pernah menjadi habitat empat ekor buaya sebelum ini,” katanya.