Bapa cuba sedaya upaya selamatkan anak daripada serangan buaya


“Bapanya cuba menyelamat, tapi (mangsa) dah dibawa buaya ke tengah sungai.” Itu kata Siti Hazirah Ali, 29, adik ipar kepada mangsa serangan buaya di Lubok Punggor, Simunjan.

Dalam temubual bersama Sarawak Edition secara langsung di Facebook pada Selasa, Siti Hazirah memberitahu mangsa, Ahmad Alzadkhri Sudin, 32, diserang reptilia itu ketika menjala udang pada petang Isnin.

Menurutnya yang ditemui di jeti Kampung Tegelam, Simunjan, keluarga hanya mengetahui kejadian sekitar jam 5.00 petang apabila dimaklumkan mangsa dibaham buaya ketika berada bersama bapanya.

Tambahnya, bapa mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan namun masih trauma dengan apa yang berlaku di depan matanya.

Mangsa diserang buaya ketika menjalankan aktiviti menjala udang bersama bapanya pada Isnin.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, mangsa dikhuatiri hilang kira-kira 200 meter dari kampung selepas dibaham buaya sekitar jam 4 petang.

Penduduk kampung yang cuba mencari mangsa sejurus kejadian gagal menemuinya.

Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 5.56 petang sebelum pasukan dari BBP Simunjan dan BBP Kota Samarahan dikerahkan ke lokasi sejauh 45 kilometer.

Sehingga siaran langsung Facebook Sarawak Edition kira-kira pada jam 4 petang, operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dan mangsa belum ditemui.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *