Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) melakar sejarah tersendiri apabila Presidennya merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, YBhg. Mejar Dato Ruslan Abdul Ghani, dianugerahkan Fellowship The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) Malaysia (FCILT) sebagai pengiktirafan tertinggi terhadap kepimpinan dan sumbangan beliau dalam industri logistik serta pengangkutan negara.
Anugerah berprestij itu disampaikan pada Majlis Konvokesyen CILT Malaysia 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Grand Shah Alam, hari ini.
Turut membanggakan, sepuluh anggota pengurusan BPHB berjaya memperoleh status Ahli Bertauliah CILT (CMILT) sekali gus mencerminkan komitmen syarikat terhadap pembangunan profesional dan kecemerlangan pengurusan logistik bertaraf antarabangsa.
Antara yang menerima pengiktirafan tersebut ialah En. Sufri Hj Bohari, Mdm. Esther Lu Noi Yan, En. Awang Faizol Awang Sallam, En. Wan Mohamad Zaidi Wan Kadir, En. Remazi Arbi, En. Sallehin Kamil, En. Awang Raisudin Awang Saifudin, En. Hishamudin Mohidin, En. Abdul Hamid Bokhari dan Ms. Najlaa Zahirah Hossen.

Dua Wanita Pertama Raih CMILT
BPHB turut mencatat sejarah baharu apabila Mdm. Esther Lu Noi Yan dan Ms. Najlaa Zahirah Hossen menjadi dua pegawai wanita pertama dalam sejarah syarikat yang menerima pengiktirafan CMILT, menandakan langkah besar ke arah kepelbagaian dan penyertaan wanita dalam sektor logistik.
Lebih manis, Esther turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik bagi Program Taklimat dan Pembentangan Kertas Projek CILTM, sekali gus membuktikan kecemerlangan akademik serta profesionalisme beliau di peringkat nasional.
Komitmen Terus Nurtur Profesionalisme
Menurut jurucakap BPHB, kejayaan itu mencerminkan budaya kerja berasaskan kecemerlangan dan kesungguhan syarikat melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi selaras dengan keperluan industri global.
“Pencapaian ini bukan sahaja menonjolkan keunggulan individu, tetapi juga mencerminkan komitmen berterusan organisasi terhadap pembangunan profesional dan kepimpinan industri,” katanya.
Beliau menambah, pengiktirafan itu memberi inspirasi kepada seluruh warga kerja BPHB untuk terus memperkukuh kompetensi dalam bidang logistik, pelabuhan dan pengurusan rantaian bekalan.
Latar Belakang
The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) Malaysia ialah badan profesional yang mempromosikan kecemerlangan dalam bidang logistik dan pengangkutan melalui pendidikan serta pembangunan profesional.
Sebagai penyedia perkhidmatan pelabuhan dan logistik utama negara, BPHB merupakan syarikat induk kepada Bintulu Port Sdn. Bhd., Biport Bulkers Sdn. Bhd., Samalaju Industrial Port Sdn. Bhd. dan Borneo Oil and Gas Supply Base Sdn. Bhd.
BPHB juga mengendalikan terminal eksport gas asli cecair (LNG) terbesar di Asia Timur dan berperanan penting sebagai hab logistik strategik yang menghubungkan Malaysia ke pasaran global.
