Penunggang maut motosikal terbabas di Jalan Entabai, Julau

Lokasi kemalangan yang mengorbankan seorang penunggang motosikal.

Seorang lelaki berusia 28 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas di Jalan Entabai, Julau pada Isnin (10 Nov 2025).

Ketua Polis Daerah Julau, Deputi Superintenden Alif Haiqal Ramesh Abdullah berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 5.10 petang ketika mangsa menunggang seorang diri dari arah rumah panjang menuju ke Pekan Julau.

“Sampai di lokasi kejadian yang merupakan jalan lurus dan basah selepas hujan, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum terbabas ke tebing jalan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan dari Klinik Kesihatan Julau pada jam 6.15 petang.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sarikei untuk proses bedah siasat,” tambahnya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.