Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Miri menahan sebuah van yang membawa pelbagai jenis rokok dan minuman keras tidak bercukai dalam operasi di kawasan Tudan, Miri pada Jumaat (14 Nov).
Menurut Komander PPM Wilayah 5, ACP HJ Ab Rahman Mat Hasan, kenderaan berwarna putih itu dikesan sekitar jam 7 pagi hasil maklumat risikan sebelum ditahan di kawasan tempat letak kereta.
“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut membawa muatan pelbagai jenis rokok dan minuman keras yang tidak bercukai dan tidak mempunyai pelekat setem daripada Kastam Diraja Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu (15 Nov).
Beliau berkata, pemandu kenderaan itu, seorang lelaki tempatan, telah ditahan dan diambil keterangan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kastam 1967.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan lebih kurang RM249,900,” katanya.
Tangkapan serta barang rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat BSJD IPD Miri untuk tindakan lanjut di bawah akta sama.
Di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, kesalahan memiliki atau menyimpan barangan tidak berkastam atau barangan larangan boleh dihukum denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.