Warga emas rugi RM1.3 juta diperdaya sindiket ‘phone scam’ di Kuching

Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching telah menerima satu kes penipuan “phone scam” secara atas talian pada 16 November 2025 di mana mangsa merupakan seorang perempuan warga tempatan berusia 72 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, pada 31.07.2025, semasa mangsa berada di rumah, mangsa telah dihubungi oleh individu yang tidak dikenali menggelar diri dari pihak MCMC menyatakan nombor telefon mangsa terlibat dalam kes jenayah.

“Seterusnya suspek menyambungkan panggilan mangsa kepada satu individu lain yang menggelar diri sebagai Sjn Tan dari IPK Terengganu.

“Suspek telah meminta mangsa untuk memindahkan wang bagi tujuan siasatan ke dalam tujuh akaun bank berbeza dengan 14 kali transaksi berjumlah keseluruhan RM1,300,200.00,” katanya dalam kenyataan pada Ahad (16 Nov).

Menurut beliau lagi, mangsa mula sedar tertipu selepas dihubungi oleh suami mangsa.

Akibat dari kejadian ini mangsa mengalami kerugian berjumlah RM1,300,200.00.

Untuk rekod, jumlah kes yang telah disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching bermula dari 1 Januari hingga 16 November 2025 yang melibatkan modus operandi yang sama adalah sebanyak 92 kertas siasatan telah dibuka melibatkan kerugian sebanyak RM5,965,575.50 termasuk kes yang dilaporkan ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan yang mana membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, dan dengan sebatan, dan bolehlah juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.