Dua individu disyaki ‘keldai akaun’ ditangkap di Saratok akan dituduh di mahkamah

Dua individu yang disyaki berperanan sebagai keldai akaun ditangkap dalam dua operasi berasingan di Saratok, dan kedua-duanya akan didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan pada 22 Disember 2025.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Anak Maggie berkata tangkapan pertama pada 27 Nov. 2025 dilakukan BSJKD Saratok melibatkan seorang wanita berusia 23 tahun yang akaun e-dompet miliknya digunakan dalam penipuan ‘phone scam’ sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM23,511.

DSP Mathew Manggie

Beliau menjelaskan, siasatan awal mendapati akaun itu pada asalnya dibuka untuk menerima bantuan kerajaan dan pernah digunakan oleh bekas suaminya bagi urusan pinjaman atas talian pada 2023.

Dalam kenyataan pada Jumaat (28 Nov), DSP Mathew berkata, suspek mendakwa tidak mengetahui mengenai kemasukan wang pada 27 Oktober lalu.

Dalam kes berasingan, BSJKD Kabong menahan seorang lelaki berusia 33 tahun pada 27 Nov. 2025 selepas akaun bank miliknya dikesan digunakan dalam penipuan pinjaman tidak wujud membabitkan kerugian RM3,520.80.

Semakan rekod mendapati lelaki itu mempunyai empat kes bersangkut di daerah lain.

“Suspek memberitahu pernah membuka akaun BSN untuk menerima bantuan persekolahan, namun tidak mengetahui di mana kad ATM miliknya berada pada masa ini.

“Suspek juga memberitahu tidak pernah menyerahkan kad ATM tersebut kepada sesiapa dan tidak mengetahui sebarang kemasukan wang ke dalam akaun berkenaan,” katanya.