Pakej pelancongan Sarawak Delta Geopark Vol.2 dilancar

Pelancaran

Usaha memperkasa promosi Sarawak sebagai destinasi utama MICE diteruskan menerusi penganjuran Jom Ke Sarawak Roadshow yang turut menyaksikan pelancaran Pakej Sarawak Delta Geopark Vol.2 di Kuala Lumpur pada Khamis (27 Nov).

Program anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Association of Sarawak Inbound Agencies (ASIA), Sarawak Tourism Board dan Business Events Sarawak itu menghimpunkan 22 wakil industri pelancongan Sarawak, termasuk sesi Business to Business (B2B) bersama pemain industri dari Wilayah Tengah.

Menurut kenyataan Tourism Malaysia, pakej edisi kedua itu menawarkan 42 itinerari bertema hasil kurasi 13 pengendali pelancongan Sarawak, menampilkan formasi geologi unik, kepelbagaian flora dan fauna, aktiviti lasak, pengalaman budaya serta gastronomi tempatan.

Inisiatif tersebut menjadi antara penawaran utama menjelang cadangan penganugerahan status UNESCO Global Geopark kepada Sarawak Delta Geopark pada 2026.

Pembangunan pakej berkenaan turut disifatkan sebagai kerjasama strategik antara Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak selaras visi Visit Malaysia 2026 (VM2026) untuk memperkasa pelancongan mampan dan berasaskan budaya.

Antara destinasi diketengahkan termasuk Sarawak Cultural Village dan Taman Negara Bako di Kuching; Wind Cave, Fairy Cave dan Paku Rock Maze di Bau; serta Annah Rais Homestay dan Semadang River Kayak di Padawan.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, Samuel Lee Thai Hung; Pengerusi ASIA, Philip Yong; Ketua Unit Pengurusan Geopark Jabatan Perhutanan Sarawak, Madeline George Pau; Pemangku Pengarah Pemasaran (Domestik dan ASEAN) Sarawak Tourism Board, Gustino Basuan; dan Pengurus Pembangunan Perniagaan Business Events Sarawak, Gloria Pahang.

Tourism Malaysia turut memaklumkan bahawa Malaysia merekodkan 28.24 juta pelancong dari Januari hingga Ogos 2025, meningkat 14.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Sarawak pula menerima 3.6 juta ketibaan dari Januari hingga September 2025.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *