Wanita 71 tahun rugi RM527,130 terpedaya ‘job scam’ di media sosial

Imej dijana AI untuk tujuan ilustrasi

Seorang wanita warga emas berusia 71 tahun mengalami kerugian RM527,130 selepas terjerumus dalam penipuan tawaran kerja sambilan atas talian yang beroperasi melalui satu aplikasi media sosial.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, mangsa menerima mesej daripada individu tidak dikenali pada 1 September lalu yang menawarkan kerja sambilan di platform dikenali sebagai TK Shop.

“Mangsa kemudian berminat dengan tawaran tersebut dan dijanjikan dengan komisen setiap kali selesai tugasan yang diberikan. Seterusnya mangsa diberikan beberapa tugasan yang telah ditetapkan untuk mendapatkan komisen yang lumayan.

“Sepanjang membuat kerja sambilan ini, mangsa telah membuat 23 kali transaksi pembayaran ke dalam 16 akaun bank berbeza seperti mana yang telah diarahkan dan mangsa sedari ditipu apabila mangsa gagal mendapatkan komisen sepertimana yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu (29 Nov).

Laporan polis diterima pada 28 Nov (Jumaat).

Dalam perkembangan berkaitan, Alexson berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching telah membuka 49 kertas siasatan bagi tempoh 1 Januari hingga 29 November tahun ini melibatkan modus operandi sama, dengan jumlah kerugian keseluruhan RM2.26 juta termasuk kes terbaru ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong mangsa menyerahkan harta, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Pesanan PDRM

• Jangan mudah percaya pada tawaran pekerjaan sambilan di media sosial yang menjanjikan keuntungan yang lumayan.
• Menyemak nombor akaun atau nombor telefon yang mencurigakan di portal rasmi Semak Mule di pautan: https://semakmule.rmp.gov.my.
• Sekiranya sedari telah ditipu dan mengalami kerugian, boleh membuat aduan di talian hotline NSRC di nombor 997 dalam tempoh 24 jam.
• Melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa melalui panggilan hotline, mesej atau WhatsApp Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak melalui talian 011-62890089 / kjsjkswk@rmp.gov.my.