Sarawak terima Sijil Bersih Akaun Awam 23 tahun berturut-turut

Sarawak sekali lagi mencatat pencapaian cemerlang apabila menerima Sijil Bersih bagi Akaun Awam tahun kewangan 2024, menjadikannya pengiktirafan ke-23 berturut-turut sejak lebih dua dekad lalu.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pengiktirafan konsisten itu membuktikan tadbir urus kewangan negeri berada pada landasan kukuh, didokong amalan pengurusan berhemat serta disiplin tinggi dalam perancangan dan perbelanjaan.

Beliau berkata, pencapaian yang berterusan itu wajar diberikan penghargaan kerana mencerminkan dedikasi, profesionalisme dan komitmen penjawat awam dalam memastikan setiap ringgit perbelanjaan negeri diurus secara telus dan bertanggungjawab.

“Ini adalah kejayaan yang tidak datang dengan mudah. Ia hasil kesungguhan semua pihak dalam mengekalkan integriti sistem kewangan kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baharu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Rabu (3 Disember 2025).

Mengulas lanjut, Uggah turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam negeri yang disifatkannya sebagai tunggak kredibiliti institusi kewangan Sarawak, selain menegaskan perlunya budaya kewangan berdisiplin terus dipertahankan.

Sementara itu, beliau berkata, keupayaan Sarawak mengekalkan rekod kewangan kukuh turut terserlah menerusi penarafan kredit pelaburan yang stabil, apabila Moody’s dan S&P masing-masing mengekalkan penarafan A3 dan A-, manakala RAM mengekalkan penarafan tertinggi AAA.

Menurutnya, penarafan tersebut memberi kelebihan kepada negeri untuk mendapatkan pembiayaan strategik dengan syarat lebih kompetitif, sekali gus menyokong pelaksanaan projek pembangunan utama secara berhemat dan bertanggungjawab.

Beliau menegaskan bahawa amalan tadbir urus baik dan pengurusan fiskal berhemah akan terus menjadi asas penting dalam memastikan Sarawak kekal berdaya saing serta mampu memacu pertumbuhan mampan ke arah masa depan yang lebih cerah dan tahan lasak.