Penunggang motosikal maut kemalangan di KM52 Jalan Mukah–Selangau

Keadaa motosikal mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan di KM52, Jalan Mukah-Selangau. Gambar: IPD Mukah

Seorang lelaki berusia 20 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 52, Jalan Mukah–Selangau, kira-kira jam 2.40 petang, Jumaat (5 Dis 2025).

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal mangsa dari arah Mukah menuju Sibu “telah hilang kawalan lalu melanggar pengadang jalan di tepi jalan.”

Dalam kenyataan, beliau berkata akibat impak perlanggaran tersebut, mangsa terjatuh dari motosikal, manakala motosikal yang masih bergerak “telah dilanggar oleh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 43 tahun di laluan bertentangan.”

Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Mukah.

Pemandu 4WD pula tidak mengalami sebarang kecederaan.