Maxim Malaysia meneruskan operasi sah di semua negeri selepas kelulusan muktamad APAD

Maxim E-hailing Malaysia telah mengumumkan secara rasmi bahawa syarikat tersebut telah menerima surat kelulusan akhir daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk meneruskan operasi e-hailing di seluruh negara.

Menurut Maxim dalam kenyataan pada Khamis (4 Dis 2025), kelulusan ini menandakan bahawa tempoh pemantauan selama tiga bulan berkaitan pematuhan telah selesai dan kini platform e-hailing tersebut mematuhi semua keperluan peraturan.

Dalam sidang akhbar yang diadakan di Kuala Lumpur  Mushfique Ahmed, Bahagian Pematuhan Undang- undang & Hubungan Kerajaan Maxim Malaysia, berkongsi semua fokus utama yang diberi perhatian oleh Maxim sepanjang tempoh tersebut, termasuk penambahbaikan proses pengesahan undang-undang, sokongan kewangan dan maklumat kepada pemandu, ciri keselamatan yang dipertingkatkan, pembentukan komuniti inklusif serta inisiatif tanggungjawab sosial.

Menurut Maxim dalam kenyataan itu, sepanjang tempoh ini, syarikat telah mengemukakan semua laporan yang diperlukan dan melaksanakan penambahbaikan penting bagi memastikan pematuhan penuh terhadap pelesenan pemandu. Dengan usaha tersebut, Maxim telah lulus pemeriksaan dan diberi kebenaran untuk meneruskan penyediaan perkhidmatan e-hailing dalam talian di seluruh negara.

Bagi memperkukuh pematuhan, Maxim telah menjalankan audit dalaman terhadap lesen PSV dan eVP, mengemas kini proses pengambilan pemandu, serta melaksanakan pemeriksaan yang lebih ketat. Syarikat turut menyediakan sokongan kewangan sehingga RM400 untuk pemandu baharu dan memperkenalkan insentif komisen 0% kepada pemandu yang baru diluluskan. Selain itu, syarikat bekerjasama dengan sekolah memandu dan menyediakan proses pantas untuk mendapatkan PSV dengan liputan penuh terhadap kos berkaitan.

Dari segi keselamatan, Maxim telah memperkenalkan pilihan perjalanan khusus wanita di beberapa bandar di Pantai Timur, menyediakan kerusi keselamatan kanak-kanak kepada pemandu berprestasi tinggi di Terengganu, serta menambah baik butang SOS bagi memastikan respons kecemasan yang lebih pantas. Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat, Maxim turut memperluas sokongan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) melalui insentif komisen 0% untuk pemandu OKU serta penambahbaikan perkhidmatan untuk pelanggan OKU.

Syarikat turut meneruskan pelbagai inisiatif komuniti seperti kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, sokongan pengangkutan untuk komuniti cacat penglihatan, serta penganjuran kempen derma darah. Melalui kerjasama seperti Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), Maxim menegaskan komitmennya terhadap keterangkuman dan kebajikan komuniti.

“Dengan kelulusan muktamad ini, Maxim bersedia memasuki fasa pertumbuhan yang lebih kukuh di Malaysia. Kami akan terus menambah baik perkhidmatan, memperluaskan capaian dan memastikan pengalaman yang selamat serta boleh dipercayai untuk penumpang dan rakan-pemandu.

“Saya merakamkan penghargaan kepada APAD, pemandu, penumpang dan rakan media atas kepercayaan serta sokongan mereka. Terima kasih kerana terus bersama Maxim,” kata Hazwan dalam kenyataan yang sama.

Hazwan turut menegaskan bahawa misi Maxim melangkaui peranan sebagai penyedia e-hailing konvensional. Platform ini memainkan peranan penting dalam menyokong penyertaan ekonomi, khususnya bagi mereka yang bergantung kepada e-hailing sebagai sumber pendapatan utama. Dengan operasi yang meliputi bandar-bandar utama, kawasan pinggir bandar dan komuniti luar bandar, Maxim komited menyediakan pilihan pengangkutan yang mudah diakses untuk semua rakyat Malaysia.

“Usaha-usaha ini mencerminkan komitmen kami bukan sahaja terhadap pematuhan peraturan, tetapi juga dalam memperkukuh keselamatan penumpang, kebajikan pemandu dan sokongan komuniti. Maxim telah membuktikan bahawa ia merupakan pemain penting dan kompetitif dalam landskap e-hailing Malaysia, membantu mengurangkan monopoli pasaran serta meningkatkan mobiliti di semua negeri,” jelas Hazwan.

Dengan kelulusan muktamad ini, Maxim Malaysia kini berada pada landasan untuk mempertingkat ciri teknologi, memperluaskan perkhidmatan dan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa serta komuniti setempat bagi menyokong ekosistem pengangkutan moden dan inklusif.