Seorang lelaki dalam lingkungan umur 40-an maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan kereta di Lebuhraya Pan Borneo, berhampiran Rumah Robert, Batu Niah, Miri pada kira-kira jam 7.40 malam, Jumaat (5 Dis).
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata kemalangan berlaku semasa sebuah motosikal yang ditunggang mangsa bersama seorang pembonceng lelaki berumur 37 tahun yang datang dari simpang Rumah Robert menuju ke Rumah Lembung dalam proses menyeberang jalan di pusingan P yang bertentangan arah.
“Kemudian motokar yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berumur 25 tahun bersama seorang penumpang lelaki tempatan berumur 18 tahun yang datang dari arah Miri menuju ke Bintulu telah melanggar motosikal tersebut,” katanya dalam kenyataan.
“Penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng telah dirujuk ke Klinik Batu Niah untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, pemandu dan penumpang motokar tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihak polis menyeru agar mana-mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Insp. Mohd Faizul bin Ab. Rahim di talian 014-8582582 / 085-430479 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
Pengguna jalan raya adalah dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan pemanduan yang berhemah serta sentiasa mematuhi peraturan-peraturan jalan raya yang ditetapkan untuk mengelak bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
