Seorang lelaki berumur 22 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar bahagian belakang sebuah pacuan empat roda di Jalan Lutong–Kuala Baram, Miri, sekitar jam 10 pagi, Ahad (7 Dis).
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Lutong menuju ke Miri, manakala pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 53 tahun bergerak di laluan sama.
“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau memaklumkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Mohd Faizul Ab. Rahim di talian 014-8582582 / 085-430479 atau mana-mana balai polis berhampiran.
ACP Mohd Farhan turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhemah dan mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kemalangan.
