Sebuah bot ikan milik warga Indonesia karam di muara berhampiran Jeti Pekan Sematan pagi Selasa (16 Dis). Kesemua tiga individu di atas bot terbabit dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Lundu, Superitenden Sudirman Bin Kram berkata Balai Polis Sematan menerima panggilan daripada orang awam pada jam 10.40 pagi memaklumkan kejadian bot karam di lokasi berkenaan.
Menurut hasil siasatan awal, bot ikan yang dinaiki seorang juragan dan dua awak-awak warga Indonesia itu bertolak dari Sarasan, Indonesia pada jam 8 malam, 15 Disember lalu bagi menghantar hasil tangkapan ikan seberat kira-kira dua tan ke Sematan.
“Pada jam lebih kurang 10.30 pagi, bot berkenaan cuba memasuki Kuala Sematan ketika air surut sebelum melanggar beting kuala dan tersangkut. Bot kemudian dipukul ombak dan karam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, ketiga-tiga individu terbabit berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung menggunakan perahu, manakala bot ikan berkenaan masih tersadai di Kuala Sematan.
Pemeriksaan mendapati kesemua mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah. Kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) tidak diaktifkan.
Setakat ini, katanya, pihak polis masih belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung kejadian tersebut.