Buaya 15 kaki ditangkap pada hari ketiga operasi di Batang Krian

Seekor buaya jantan sepanjang kira-kira 15 kaki ditangkap pada hari ketiga operasi mengurangkan populasi buaya di Batang Krian pada Selasa (16 Dis).

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan dibuat sekitar jam 4 petang selepas penduduk rumah panjang Kampung Kupang memaklumkan bahawa salah satu umpan yang dipasang telah dibawa lari seekor buaya.

DSP Mathew Manggie

Menurutnya, pasukan operasi kemudian mengesan buaya berkenaan yang termakan umpan sebelum menangkap dan membawa reptilia itu ke darat.

“Buaya yang ditangkap dikenal pasti sebagai buaya katak (Crocodylus porosus), jantan, dengan anggaran berat antara 300 hingga 400 kilogram,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, bangkai buaya itu disimpan di Pusat Operasi sebelum diserahkan kepada pemburu buaya berlesen untuk tindakan selanjutnya, selain direkodkan mengikut prosedur ditetapkan.

Operasi menangkap dan memindah buaya di Kampung Kupang serta pemantauan sepanjang Sungai Batang Krian itu merupakan usaha sama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok dengan Sarawak Forestry Corporation (SFC) serta beberapa jabatan kerajaan lain, dan diaktifkan dari 14 hingga 23 Disember ini.

DSP Mathew berkata, seramai 18 anggota terlibat dalam operasi berkenaan, membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), SFC Sibu dan RELA, dengan sokongan tiga buah bot daripada agensi terlibat.

Mengulas perkembangan operasi, beliau berkata, operasi hari pertama ditangguhkan ke hari berikutnya tanpa sebarang tangkapan, namun pemantauan di lokasi mendapati anggaran sekitar 178 ekor buaya berada di kawasan terbabit.

Pada hari kedua pula, sebanyak sembilan umpan diletakkan di beberapa lokasi sepanjang Sungai Krian.

Beliau menegaskan, aspek keselamatan sentiasa diutamakan sepanjang operasi, termasuk penggunaan kelengkapan keselamatan dan jaket keselamatan oleh semua anggota yang terlibat.