Empangan Hidroelektrik Bakun raih IHA Blue Planet Prize 2025 di Paris

Empangan Hidroelektrik Bakun (Bakun HEP) milik Sarawak Energy Berhad melakar sejarah tersendiri apabila menerima ‘International Hydropower Association (IHA) Blue Planet Prize 2025’ di Paris pada 9 Sept. 2025.

Anugerah berprestij itu mengiktiraf komitmen Sarawak Energy terhadap pembangunan hidroelektrik mampan serta sejajar dengan amalan terbaik antarabangsa.

Penyampaian anugerah berlangsung bersempena International Forum on Pumped Storage Hydropower yang menghimpunkan pemimpin kerajaan, industri, kewangan dan masyarakat sivil bagi membincangkan peranan hidroelektrik dalam peralihan tenaga global.

Dato Haji Ibrahim Haji Baki, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS) Sarawak merangkap Pengerusi Sarawak Energy (tengah) menerima IHA Blue Planet Prize 2025 bagi Bakun HEP daripada Malcolm Turnbull (kiri), Presiden IHA merangkap bekas Perdana Menteri Australia. Turut kelihatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Haji Sharbini Suhaili (kanan). 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Haji Sharbini Suhaili berkata, pengiktirafan itu membuktikan usaha syarikat dalam memastikan operasi loji hidroelektrik mematuhi piawaian kelestarian.

“Penganugerahan ini mengesahkan usaha berterusan kami menyokong visi kelestarian Sarawak dan menyumbang kepada hasil positif dari segi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Hidroelektrik kekal sebagai tulang belakang penjanaan tenaga Sarawak yang mampu menyediakan tenaga boleh dipercayai, mampu milik serta lestari. Kami komited untuk memperakui semua loji hidroelektrik menjelang 2030,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IHA, Eddie Rich menyifatkan Bakun HEP sebagai contoh kejayaan apabila sesebuah projek melaksanakan penambahbaikan berterusan dan menutup jurang hasil penilaian.

“Dengan mengadaptasi amalan kelestarian dalam operasi, Sarawak Energy membuktikan bahawa hidroelektrik boleh membawa manfaat kepada komuniti dan alam sekitar. Anugerah ini memang layak diterima,” katanya.

Bakun HEP berkapasiti 2,520 megawatt (MW) yang mula beroperasi sepenuhnya pada 2014 ialah loji tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia. Ia turut menjadi penyumbang utama kepada portfolio penjanaan Sarawak bersama Murum HEP (944 MW) dan Batang Ai HEP (94 MW).

Team Sarawak Energy bersama YB Dato Haji Ibrahim Haji Baki dan CEO Datuk Haji Sharbini Suhaili bergambar selepas menerima anugerah tersebut.

Baru-baru ini, Bakun HEP turut dianugerahkan Sijil Perak di bawah Hydropower Sustainability Standard (HSS) selepas melalui penilaian bebas oleh Hydropower Sustainability Alliance.

Penilaian itu menonjolkan kekuatan Bakun HEP dalam aspek penglibatan komuniti, pemuliharaan biodiversiti, daya tahan iklim dan tadbir urus. Sijil itu diumumkan pada Sustainability & Renewable Energy Forum (SAREF) 4.0 di Kuching pada 3 September 2025, disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Selain itu, Sarawak Energy turut mencatat pencapaian lain apabila menjadi penaja global pertama dari Asia Tenggara bagi World Energy Council sejak Mac tahun lalu.

Langkah itu membolehkan syarikat menyumbang pandangan mengenai dasar tenaga, inovasi dan strategi kelestarian di peringkat global.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *