Seorang lelaki maut selepas lori tangki minyak sawit yang dipandunya terlibat dalam kemalangan kendiri dengan melanggar tiang flyover di simpang ke Mukah, Selangau pada Rabu (17 Dis).
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sarawak, dalam kejadian sekitar jam 12.59 tengah malam itu, mangsa dilaporkan tersepit di ruang pemandu, dengan kecederaan pada bahagian kaki.
Pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau digerakkan ke lokasi, dengan bantuan BBP Sibujaya.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi, JBPM Sarawak, pasukan operasi menggunakan peralatan menyelamat kemalangan jalan raya (RTA Rescue Tools) dan pengusung bagi memotong serta merenggang bahagian kenderaan untuk mengeluarkan mangsa.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” menurut kenyataan itu.