PGA Sarawak lakar 15 kejayaan Op Taring, nilai rampasan keseluruhan RM9.9 juta

Op Taring Alpha di daerah Miri pada 26 November.

Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am (PGA) mencatat 15 kejayaan menerusi Op Taring Alpha, Op Taring Bravo dan Op Taring Batas/Awas sepanjang tempoh 26 November hingga 16 Disember 2025 dengan nilai rampasan keseluruhan RM9.9 juta.

Komander Briged Sarawak PGA, SAC Lim Bak Phai, dalam kenyataan memaklumkan kejayaan itu hasil pelbagai operasi yang dijalankan di beberapa daerah di seluruh negeri, melibatkan rampasan rokok dan minuman keras tanpa cukai, barang kawalan, produk sejuk beku, mercun serta kenderaan pelbagai jenis.

Menurutnya, antara rampasan utama direkodkan menerusi Op Taring Alpha di daerah Miri pada 26 November lalu membabitkan lebih 4,900 karton rokok, 12,586 liter minuman keras serta dua kenderaan, dengan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM2.5 juta.

Operasi lain menerusi Op Taring Bravo dan Op Taring Batas/Awas turut merekodkan kejayaan menahan individu disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan penyimpanan barang kawalan tanpa dokumen atau permit sah, termasuk bawang, gula, minyak masak, minyak diesel bersubsidi serta produk makanan sejuk beku di beberapa lokasi antaranya Lundu, Lubuk Antu, Bau, Sri Aman dan Serian.

“Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) atau agensi berkaitan untuk tindakan dan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, beliau memaklumkan bahawa sepanjang pelaksanaan Op Taring Briged Sarawak PGA dari 1 Januari hingga 16 Disember 2025, pasukan itu mencatat kejayaan keseluruhan bernilai RM404.9 juta, melibatkan 623 kes, 741 tangkapan serta rampasan 362 kenderaan pelbagai jenis.