Judika bakal gegar Kuching Waterfront pada sambutan New Year Countdown

Penyanyi terkenal Indonesia, Judika, bakal menghangatkan pentas sebagai artis kemuncak Sarawak New Year Countdown 2026 di Kuching Waterfront pada 31 Disember 2025.

Acara anjuran Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak itu dijangka menarik ribuan pengunjung dengan gabungan persembahan artis tempatan, nasional dan antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program tahunan berkenaan akan dibahagikan kepada tiga segmen utama iaitu Pra-Persembahan, Segmen Rasmi dan Pasca Persembahan.

Menurut beliau, segmen pra-persembahan yang bermula jam 8 malam akan menampilkan bakat-bakat tempatan termasuk band Sarawak, tarian etnik, tarian kreatif serta persembahan artis seperti Gabriel Mawat, Ng Chien Chien, Meera Zada, Carrie Geres, Razali Sa’at dan Jolly Jengan.

Sementara itu, segmen rasmi pula akan dimeriahkan dengan persembahan artis popular tanah air antaranya KRU, Dayang Nurfaizah, Jatt Ali dan Naqiu, sebelum acara diteruskan dengan kiraan detik menuju tahun baharu serta pertunjukan bunga api muzikal tepat jam 12 tengah malam.

Kemuncak sambutan diteruskan selepas tengah malam menerusi segmen pasca persembahan yang menampilkan Judika, yang terkenal dengan lagu-lagu popular seperti Aku Yang Tersakiti, Bagaimana Kalau Aku dan Cinta Karena Cinta.

Tambah beliau, sambutan tahun ini turut diserikan dengan pertunjukan khas ‘Drone – Gateway To A Sarawak Guinness World Record’ yang mempamerkan pencapaian Guinness World Record for Longest GPS Journey By Drone Relay.