Penunggang motosikal maut, dua cedera dalam kemalangan di Limbang

Seorang penunggang motosikal maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di Taman Tasik Bukit Mas, Limbang pada Khamis (18 Dis).

Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.40 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurut kenyataan itu, kemalangan berkenaan melibatkan tiga mangsa iaitu dua lelaki dan seorang perempuan, dengan dua daripadanya mengalami kecederaan manakala seorang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa yang meninggal dunia lelaki berumur 26 yang merupakan penunggang motosikal dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

Kenyataan itu turut memaklumkan, dua mangsa lain yang merupakan penumpang kereta iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan mengalami kecederaan.

Seorang mangsa wanita warga emas tidak tersepit dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan pengusung sebelum diserahkan kepada pihak KKM untuk dihantar ke hospital dengan ambulans.

Mayat mangsa yang meninggal dunia kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi diketuai PBK I Dzuriman Suhaimi itu turut melibatkan kerja pembersihan sisa-sisa kemalangan di atas jalan raya bagi memastikan laluan selamat digunakan orang awam.

Seramai enam anggota bomba terbabit dalam operasi berkenaan dengan kekuatan satu jentera FRT dan satu EMRS, dengan bantuan agensi lain iaitu polis dan KKM.