JPJ Sarawak perhebat advokasi, rondaan dan POBC sempena musim Krismas

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak memperhebat aktiviti advokasi keselamatan jalan raya serta penguatkuasaan menerusi rondaan dan kaedah Perception of Being Caught (POBC) bagi memastikan pematuhan undang-undang lalu lintas sepanjang musim perayaan Krismas.

Menurut JPJ, usaha itu dilaksanakan menerusi Ops Khas Krismas yang berlangsung dari 19 hingga 28 Disember ini, dengan tumpuan kepada kawasan kerap berlaku kemalangan serta lokasi tumpuan di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo.

JPJ Sarawak memaklumkan, antara penekanan utama operasi ialah pematuhan peraturan sedia ada termasuk kewajipan pemakaian tali pinggang keledar oleh penumpang bas ekspres, yang berkuat kuasa sejak 1 Julai lalu, dengan kegagalan mematuhinya boleh dikenakan kompaun RM300.

Operasi berkenaan dilaksanakan susulan peningkatan kadar kemalangan jalan raya di Sarawak, dengan sebanyak 21,733 kes direkodkan pada 2024 berbanding 21,418 kes pada 2023, iaitu peningkatan 315 kes atau 1.5 peratus berdasarkan data Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Penguatkuasaan melibatkan anggota JPJ seluruh Sarawak dengan penekanan terhadap aktiviti advokasi serta rondaan bagi memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987,” menurut kenyataan itu.

Pelancaran Ops Khas Krismas disempurnakan oleh Pengarah Kanan Bhgn Penguatkuasa JPJ Malaysia, Dato’ Muhamad Kifli bin Ma Hassan dan Pengarah JPJ Sarawak, Norizan bin Jili di Terminal Bas Sibu pada malam Jumaat (19 Dis).

Selain itu, pemeriksaan bas turut dijalankan di tiga terminal bas utama negeri iaitu Kuching, Sibu dan Miri, termasuk kaedah penyamaran sebagai penumpang bagi mengesan pelanggaran peraturan jalan raya dan etika pemanduan seperti penggunaan telefon bimbit, kesalahan lalu lintas dan ketiadaan pemandu kedua.

JPJ turut menegaskan aspek keselamatan teknikal bas pengangkutan awam diberi perhatian serius melalui pemeriksaan tayar, brek dan lampu serta semakan dokumentasi termasuk lesen memandu, lesen kenderaan motor dan permit LPKP sebelum perjalanan dibenarkan.

Kerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dipergiatkan bagi mengesan pemandu kenderaan perkhidmatan awam yang mengambil bahan terlarang, termasuk pelaksanaan ujian saringan air kencing sebelum memulakan perjalanan.

JPJ menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pesalah jalan raya yang mengabaikan keselamatan pengguna lain, selaras aspirasi kerajaan untuk mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030.

Orang awam digalakkan menyalurkan aduan berkaitan kesalahan lalu lintas menerusi aplikasi MyJPJ, e-Aduan@JPJ atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my.