Seorang nelayan maut selepas terjatuh ke ruang simpanan ikan dalam sebuah kapal nelayan ketika beroperasi di perairan laut Kabong pada Ahad (21 Dis).
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Anak Manggie, berkata kejadian berlaku ketika kapal nelayan bernombor pendaftaran SF25754 sedang berada di tengah laut.
Menurut beliau, mangsa berumur 26 tahun, yang berasal dari Sibu, dipercayai terjatuh akibat gelombang laut yang kuat.
“Siasatan awal mendapati mangsa terjatuh ke dalam gerabak tempat penyimpanan tong ikan di dalam kapal dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta muka,” katanya dalam kenyataan pada Isnin (22 Dis).
Katanya, kejadian itu disaksikan oleh rakan sekerja mangsa yang turut meminta bantuan kru lain untuk menyelamatkan mangsa, namun mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Tanjung Manis sebelum laporan polis dibuat bagi tindakan lanjut.
“Hasil daripada keterangan saksi yang diperolehi tiada unsur-unsur jenayah,” katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (LMM) dan siasatan lanjut masih dijalankan.