Sebanyak 31 buah motosikal ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di sekitar Jalan Central Timur, Jalan Tabuan dan Jalan Tan Sri Ong Kee Hui, Kuching.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu, berkata operasi yang dijalankan antara jam 9.30 malam pada 20 Disember hingga jam 4 pagi, 21 Disember itu membabitkan seorang pegawai kanan dan 27 anggota.
Menurut beliau, kesemua motosikal berkenaan ditahan di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas didapati diubah suai daripada struktur asal selain untuk tujuan pemeriksaan lanjut.
“Sepanjang operasi ini, seramai 82 individu dan 75 buah motosikal telah diperiksa, manakala sebanyak 151 keping saman PDRM (K) 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu (21 Dis).
Beliau berkata, operasi berkenaan dijalankan bagi membanteras aktiviti samseng jalanan serta memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang dan peraturan lalu lintas.
Mengulas statistik keseluruhan, beliau berkata bagi tempoh 1 Januari hingga 21 Disember 2025, seramai 26 individu ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Dalam tempoh sama, sebanyak 298 buah motosikal disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan 2,622 saman PDRM (K) 257 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya.
Beliau menegaskan, operasi seumpama itu akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dan menasihatkan pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal, supaya memandu secara berhemah, berhati-hati serta tidak mengubah suai struktur asal kenderaan.