Resit pelancongan Sarawak lebih RM1 bilion setiap bulan untuk 11 bulan

Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Sarawak mencatat pencapaian luar biasa apabila resit pelancongan melebihi RM1 bilion setiap bulan selama 11 bulan berturut-turut pada 2025, satu rekod yang tidak pernah dicapai sebelum ini, hasil peningkatan ketara jumlah pengunjung serta sokongan berterusan kerajaan negeri terhadap penganjuran ratusan acara sepanjang tahun.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata resit pelancongan tersebut tidak masuk ke dalam perbendaharaan (coffer) kerajaan, sebaliknya mengalir terus kepada industri seperti hotel, restoran dan pengusaha perkhidmatan, sebelum berpusing kembali kepada kerajaan menerusi kutipan cukai.

“Perbelanjaan pelancong ini tidak masuk ke dalam coffer kerajaan, tetapi terus kepada industri. Namun akhirnya ia berpusing kembali apabila pengusaha membayar cukai kepada kerajaan,” katanya dalam temu bual bersama Sarawak Edition pada Selasa (30 Dis).

Menurut beliau, sehingga November 2025, Sarawak telah menerima 4.6 juta pengunjung, dan pihaknya kini menunggu angka rasmi bagi Disember, dengan sasaran keseluruhan lima juta pengunjung bagi tahun ini.

“Sama ada sasaran lima juta itu dicapai atau tidak, ia bukan isu utama. Yang penting ialah pulangan ekonomi, apabila setiap bulan perbelanjaan pelancong melebihi RM1 bilion dan perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Abdul Karim berkata, kejayaan itu dipacu oleh penganjuran acara yang konsisten sejak awal tahun, dengan acara berskala besar bermula seawal 4 Januari 2025, diikuti pelbagai program hampir setiap minggu di seluruh Sarawak.

Beliau berkata, sepanjang 2025, kementeriannya telah menyalurkan sokongan dan bantuan kewangan kepada 351 acara, termasuk regata, persembahan kebudayaan, acara muzik dan sukan.

“Dalam satu tahun ada 365 hari. Apabila kita memberi sokongan kepada 351 acara, ini bermakna hampir setiap hari ada acara diadakan di seluruh Sarawak,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan itu memberi kesan langsung kepada ekonomi setempat dan mewujudkan suasana positif dalam kalangan masyarakat apabila acara dianjurkan dan kehadiran pengunjung meningkat.

“Ia memberi ‘good feeling’ kepada masyarakat kerana apabila orang datang, sama ada dari luar atau domestik, mereka perlu menginap di hotel, makan di restoran dan berbelanja,” katanya.

Beliau berkata, limpahan ekonomi itu turut dirasai peniaga kecil, pengusaha kraf dan komuniti luar bandar yang menghasilkan produk tradisional untuk dipasarkan di kawasan bandar.

“Mereka yang berniaga di tepi jalan, pengusaha kraf serta komuniti luar bandar yang menghasilkan pua kumbu dan bakul turut mendapat manfaat apabila industri pelancongan bergerak secara menyeluruh,” katanya.

Abdul Karim menegaskan industri pelancongan kini menjadi antara pemangkin utama ekonomi negeri, dengan manfaat yang dirasai kerajaan, industri dan rakyat secara keseluruhan.