Polis rampas dadah RM328,173.50, sita harta RM604,000 di Kuching

Ketua Polis Daerah Kuching bersama timbalannya dan para pegawai kanan menunjukkan dadah yang dirampas.

Polis menahan dua lelaki tempatan berusia 42 dan 38 tahun serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM328,173.50 dalam satu operasi di Kuching, pada 8 Januari 2026.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak antara jam 3.40 petang hingga 7.50 malam.

Menurutnya dalam sidang media di Kuching hari ini (Selasa-13 Jan) dadah yang dirampas terdiri daripada 5,662.90 gram syabu, 1,819 gram ketamin, 120 gram pil Erimin 5 dan 60.2 gram ekstasi.

Beliau berkata, polis turut menyita harta yang disyaki hasil daripada aktiviti pengedaran dadah bernilai RM604,000, terdiri daripada lima buah kenderaan dan seutas jam tangan jenama Rolex.

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta adalah RM932,173.50.

Menurut beliau, dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 32,573 orang penagih.

ACP Alexson berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 42 tahun berperanan sebagai penjaga stor di sebuah pangsapuri yang disewa dan penghantar dadah, manakala suspek berusia 38 tahun berperanan mengambil bekalan dadah dan disimpan di dalam stor sebelum diedarkan sekitar daerah Kuching.

Katanya, suspek berusia 42 tahun menerima arahan daripada rakan sejenayahnya sebelum penghantaran dibuat kepada pelanggan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan ketua serta rangkaian sindiket itu.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek berusia 42 tahun positif methamphetamine dan amphetamine, manakala suspek berusia 38 tahun positif dadah jenis benzo.

Menurutnya, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 9 hingga 16 Januari 2026 di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.