Rampasan rotan, diesel, barang kawalan bernilai RM1.4 juta di Bau

Rotan disyaki dibawa masuk dari negara jiran disyaki tanpa sebarang dokumen yang sah. Gambar: Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Sarawak

Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak menahan enam individu tempatan serta merampas pelbagai barangan kawalan dan hasil hutan bernilai kira-kira RM1.4 juta dalam satu serbuan di sebuah premis dipercayai dijadikan gudang di daerah Bau, awal pagi Isnin.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak, ACP Ab Rahman Mat Hasan, berkata serbuan dilakukan kira-kira jam 3 pagi hasil maklumat risikan ketika Op Bersepadu, membabitkan kerjasama PPM dan Sarawak Forestry Corporation (SFC).

Menurutnya, pemeriksaan ke atas premis berkenaan membawa kepada penahanan enam warga tempatan terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita, selain rampasan 1,406 ikatan kayu rotan bersama sebuah lori serta 10 kontena dan treler yang disyaki dibawa masuk dari negara jiran tanpa dokumen sah.

“Turut dirampas ialah kira-kira 13,450 liter minyak diesel yang disimpan dalam beberapa skid tank, dipercayai tanpa dokumen pemilikan yang sah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu (14 Jan).

Beliau berkata, pihaknya turut menemui 1,200 peket gula kasar (1 kilogram), 6,150 paket minyak masak (1 kilogram) serta 6,157 keping kayu ramu pelbagai jenis dan saiz yang disimpan tanpa permit atau kebenaran sah.

Katanya, semua suspek dan barangan rampasan ditahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dan Ordinan Perhutanan Sarawak 2015 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan barang kawalan terbabit.

“Kesemua suspek dan barang rampasan telah diserahkan kepada SFC dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Bahagian Kuching untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Ab Rahman berkata, PPM Wilayah Lima Sarawak bersama SFC akan terus melaksanakan operasi secara berterusan bagi mengekang aktiviti penyelewengan serta penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi ke negara jiran.