Lapan jambatan utama siap, 1,795 kilometer jalan dibina di Sarawak sepanjang 2025

Douglas Uggah bersama tetamu lain di JKR Sarawak Grand Excellence Gala 2026.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mencatat pencapaian besar dalam pembangunan infrastruktur apabila berjaya menyiapkan lapan jambatan utama serta membina sepanjang 1,795 kilometer jalan raya di seluruh negeri sepanjang tahun 2025.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dan JKR Sarawak dalam memastikan keterhubungan rakyat dari kawasan bandar, luar bandar hingga ke pedalaman.

Menurutnya, lapan jambatan utama yang siap dibina ialah Jambatan Marudi, Jambatan Muara Lassa, Jambatan Tun Taib Mahmud, Jambatan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang Tuanku Haji Othman, Jambatan Batang Saribas, Jambatan Datuk Amar Juma’ani, Jambatan Sebauh dan Jambatan Lingga.

“Jambatan-jambatan ini bukan sekadar struktur kejuruteraan, sebaliknya berfungsi sebagai laluan hayat yang menghubungkan rakyat, memendekkan jarak perjalanan serta meningkatkan peluang penglibatan dalam aktiviti ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis JKR Sarawak Grand Excellence Gala 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada malam Jumaat (23 Jan 2026).

Uggah berkata, pembinaan rangkaian jalan raya sepanjang 1,795 kilometer pula merangkumi kawasan pesisir pantai hingga ke pedalaman, selari dengan usaha memastikan tiada rakyat Sarawak tercicir dalam agenda pembangunan negeri menuju 2030.

Beliau turut berkata bahawa Jambatan Datuk Amar Juma’ani di Sungai Bintangor mencatat pencapaian tersendiri apabila menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai jambatan kabel tiga kaki pertama, tertinggi dan terpanjang, sekali gus mengangkat keupayaan teknikal dan kejuruteraan JKR Sarawak.

Selain itu, kejayaan pelaksanaan projek infrastruktur turut disokong kecekapan pengurusan apabila JKR Sarawak merekodkan kadar penggunaan peruntukan sebanyak 97.39 peratus sepanjang tahun 2025, yang diterjemahkan kepada penyampaian pembangunan secara langsung kepada rakyat.

Beliau berkata, pemerkasaan JKR Sarawak melalui pelaksanaan AP182 turut membolehkan jabatan itu mengurus projek persekutuan dengan lebih berkesan, menggunakan kepakaran tempatan yang memahami cabaran geografi dan bentuk muka bumi Sarawak.

“Ini membolehkan projek dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan, sekali gus memastikan pembangunan Sarawak diurus oleh mereka yang benar-benar memahami keadaan setempat,” katanya.