Penganjuran Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 disifatkan sebagai platform strategik pencarian bakat bagi melahirkan atlet pelapis berpotensi untuk memperkukuh kekuatan kontinjen Sarawak menjelang temasya SUKMA akan datang.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata temasya dwitahunan itu bukan sekadar kejohanan sukan, sebaliknya menjadi landasan awal menilai keupayaan sebenar atlet muda dari aspek fizikal, mental dan taktikal.
Menurutnya, SUKSAR berperanan penting dalam memastikan pembangunan atlet Sarawak dilaksanakan secara tersusun, sistematik dan mampan, selain memberi pendedahan kepada suasana pertandingan berprestasi tinggi.
“Melalui SUKSAR, atlet muda diberi peluang menguji kemampuan sebenar sebelum diketengahkan ke peringkat lebih tinggi termasuk SUKMA,” katanya pada sidang media SUKSAR IV 2026 di Kuching pada Jumaat (23 Jan).
SUKSAR IV 2026 dijadual berlangsung dari 5 hingga 8 Februari depan dengan Sri Aman dan Betong dipilih sebagai tuan rumah bersama, membabitkan penyertaan 257 atlet daripada empat zon utama iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Barat dan Zon Selatan.
Sebanyak 11 jenis sukan akan dipertandingkan dengan tawaran keseluruhan 105 pingat emas, 105 pingat perak dan 135 pingat gangsa, menjadikan edisi kali ini sebagai medan persaingan kompetitif dalam kalangan atlet negeri.
Abdul Karim berkata, kejohanan itu turut membantu mengaktifkan persatuan sukan di peringkat zon dan daerah, di samping meningkatkan kompetensi pegawai teknikal tempatan bagi memperkukuh ekosistem sukan Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan Sarawak meletakkan sasaran jelas untuk mempertahankan kejuaraan keseluruhan pada SUKMA XXII Selangor 2026, sekali gus menuntut peranan lebih besar jurulatih dan pegawai sukan dalam membentuk mentaliti juara atlet.
“Disiplin, integriti dan sahsiah atlet perlu diberi penekanan bagi memastikan prestasi cemerlang dapat dikekalkan secara konsisten,” katanya.
Selain aspek prestasi, penganjuran SUKSAR IV 2026 juga dijangka memberi impak positif kepada komuniti setempat termasuk merancakkan ekonomi tempatan serta memperluas pembangunan sukan di peringkat akar umbi.