Polis menahan enam individu termasuk tiga wanita warga asing dalam dua serbuan berasingan di kawasan Jalan Durian Burung di Kuching pada 23 Januari 2026 (Jumaat) dengan rampasan dadah bernilai hampir RM30,000.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Anak Chabu, berkata serbuan pertama dijalankan kira-kira jam 10.30 malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Menurutnya, seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun ditahan dan hasil pemeriksaan menemui 198 kartrij cecair vape disyaki mengandungi dadah jenis ganja dengan jumlah keseluruhan 376.20 mililiter.
“Nilai pasaran dadah yang dirampas dianggarkan RM29,700,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
ACP Alexson berkata, ujian saringan awal air kencing ke atas suspek mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ketamine serta mempunyai satu rekod jenayah lampau.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek direman selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Januari ini bagi membantu siasatan.
Dalam serbuan kedua kira-kira jam 10.50 malam di lokasi sama, beliau berkata polis menahan dua lelaki warga tempatan berusia 21 dan 45 tahun bersama tiga wanita warga asing berumur 20, 25 dan 28 tahun.
“Hasil pemeriksaan menemui satu keratan tiub straw berisi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamine seberat 0.47 gram dengan nilai pasaran dianggarkan RM80,” katanya.
Menurutnya, ujian saringan awal mendapati dua suspek lelaki dan dua wanita positif dadah manakala seorang wanita didapati negatif, selain dua lelaki berkenaan mempunyai satu rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama tiga hari bermula 25 hingga 27 Januari ini bagi membantu siasatan.