Keyakinan terhadap kemampuan kenderaan Isuzu untuk mengurangkan kos operasi, melakukan perjalanan jauh dalam tempoh panjang serta memberikan keselamatan serta keselesaan telah menjadi pendorong kepada jualan yang sihat sepanjang 2025, walaupun sentimen industri terhadap kenderaan diesel menjadikannya semakin menurun.
Jualan kenderaan Isuzu tetap kukuh sepanjang tahun lalu walaupun permintaan umum terhadap sektor kenderaan komersial menyaksikan penurunan sebanyak 11.4 peratus. Pasaran trak pikap juga menyaksikan penurunan sebanyak 7.3 peratus, kesan daripada semakan semula harga diesel yang dilakukan pada 2024.

Bagaimanapun, trak Isuzu sebaliknya mencapai tahap perkongsian pasaran tertingginya dengan mencatatkan kadar 56.1 peratus, dengan jumlah pendaftaran sebanyak 6,880 unit. Ini merupakan satu lonjakan daripada paras tertinggi terdahulu dengan 47.1 peratus, yang dicapai pada tahun 2023.
Isuzu D-Max juga mununjukkan prestasi jualan yang cemerlang, mengukuhkan kedudukannya untuk menguasai 15 peratus pasaran dalam segmen trak pikap, yang sekali gus membolehkannya menduduki tangga kedua keseluruhan di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Tomoyuki Yamaguchi mengaitkan pencapaian itu dengan keberhasilan syarikat untuk memenuhi dan melangkaui keperluan pelanggannya.
“Sebagai peneraju global dalam industri mobiliti, Isuzu amat memahami keperluan dan kehendak pelanggan kami. Kesungguhan kami dalam menyediakan barisan produk yang memenuhi keperluan pelanggan kekal menjadi faktor utama dalam meraih dan meningkatkan populariti berterusan Isuzu di Malaysia.

“Keupayaan rangkaian pengedar strategik yang dengan pantas mampu menyesuaikan diri untuk memenuhi permintaan pelanggan yang senitasa berubah-ubah, serta sistem lepas jualan yang menjadi tulang belakang dalam memikul tanggungjawab untuk memastikan semua pelanggan kami sentiasa sedia bergerak telah memainkan peranan untuk meningkatkan populariti jenama ini,” jelas Yamaguchi.
Isuzu Elf — yang merupakan sebuah trak tugasan ringan dengan kemampuan menampung muatan banyak dalam saiz yang kompak — kekal menjadi trak paling popular di Malaysia bagi tahun ke-16 berturut-turut, dengan sejumlah 6,362 unit didaftarkan dan menyumbang sebanyak 92.5 peratus trak yang dijual sepanjang tahun lalu.
Trak Forward untuk tugasan sederhana pula terus menawarkan daya tarikan tersendiri; ia mampu mengendalikan perjalanan ulang-alik jarak jauh antara bandar dengan mudah.
Meneruskan kejayaan yang dicapai pada tahun 2023, trak tersebut sekali lagi muncul sebagai trak tugasan sederhana paling laris di negara ini dengan mencatatkan jualan sebanyak 494 unit pada tahun 2025.
Lonjakan Isuzu D-Max ke kedudukan kedua keseluruhan juga mencerminkan pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap jenama Isuzu dan D-Max, yang telah membina reputasi kukuh dalam memberikan nilai luar biasa kepada pelanggan.
Usaha akan diteruskan untuk memperkukuh kehadiran produk serta mempamerkan keupayaannya agar lebih ramai pengguna di Malaysia menyedari nilai tambah yang diberikan oleh D-Max dalam setiap persekitaran penggunaannya.
Dengan memanfaatkan reputasi kukuh barisan kendearan Isuzu semasa, syarikat akan memberikan tumpuan segera terhadap cara untuk memperkayakan lagi pengalaman pemilikan pengguna, terutamanya dalam aspek lepas jualan.
“Walaupun kami menyaksikan peningkatan penerimaan bagi urusan lepas jualan sebanyak 12 peratus tahun lalu, kami percaya dengan perkhidmatan yang lebih baik, tempoh serahan yang lebih pantas serta ketersediaan alat ganti yang lebih meluas, kami akan mampu melancarkan dan mempercepat proses penyelenggaraan kenderaan, dan memendekkan lagi waktu menunggu untuk pelanggan,” tambah Yamaguchi.