Kesediaan atlet Muay Thai kebanggaan negara, Johan “JoJo” Ghazali, untuk meluangkan masa bertemu seorang remaja pesakit kanser dari Sarawak telah meraih pujian meluas dalam kalangan netizen di media sosial.
Perkara itu susulan respons ringkas Jojo di ruangan komen Facebook Sarawak Edition selepas membaca kisah Muhd Ariff Arman, 14, yang berharap dapat bertemu idola kesayangannya ketika sedang menjalani rawatan kanser.
“Insya-Allah lepas fight minggu depan ni Jojo make something happen. Stay strong brother Arrif,” tulisnya.
Susulan komen berkenaan, rata-rata netizen tampil menyuarakan penghargaan dan doa, menyifatkan kesediaan Jojo sebagai satu tindakan terpuji yang mampu memberi impak besar kepada kekuatan emosi remaja tersebut.
Seorang pengguna Facebook, Muhammad Aliff, menulis ucapan terima kasih kepada Jojo sambil menyatakan bahawa walaupun kehadiran atlet itu mungkin singkat, ia berpotensi membawa kesan besar terhadap rawatan Ariff serta menyuntik semangat untuk terus bertahan dalam perjuangan melawan penyakit yang dihadapi.
Seorang lagi netizen, Man Njaol Njaol, turut meluahkan rasa terharu dan mendoakan agar segala urusan dipermudahkan, selain berharap Jojo memenangi perlawanan serta berpeluang bertemu Ariff. Beliau juga mendoakan agar remaja itu diberikan kesembuhan.
Muhd Ariff Arman merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Matang dan dikenali sebagai peminat tegar sukan Muay Thai serta amat mengagumi Jojo yang kini mencipta nama di peringkat antarabangsa.
Menurut ibunya, Ida Rahayu binti Effendy, 45, Ariff dijadualkan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada Isnin, 2 Februari 2026, jam 8 pagi, bagi menjalani rawatan kemoterapi kedua.
Beliau berkata, kata-kata semangat daripada idola yang dikagumi anaknya itu mampu menjadi sumber kekuatan besar untuk Ariff terus bertahan sepanjang fasa rawatan yang mencabar.
Kisah ini bukan sahaja menyentuh hati orang ramai, malah memperlihatkan bagaimana sokongan dan empati seorang ikon sukan mampu memberi harapan kepada mereka yang sedang diuji dengan penyakit berat.