Sarawak Energy tanam 300 pokok di Rizab Semula Jadi Piasau sokong biodiversiti bandar

Datuk Haji Sharbini Suhaili bersama pegawai dan kakitangan Sarawak Energy ketika program penanaman pokok di Rizab Semula Jadi Piasau, Miri.

Sarawak Energy, dengan kerjasama Sarawak Forestry Corporation, menanam 300 anak pokok spesies tempatan di Rizab Semula Jadi Piasau, Miri pada 8 Februari 2026, sekali gus memperkukuh komitmen jangka panjang syarikat terhadap kelestarian alam sekitar dan pemuliharaan biodiversiti di seluruh Sarawak.

Program itu adalah sebahagian daripada Kempen Penanaman, Perlindungan dan Pemulihan Habitat Sarawak Energy yang menyasarkan penanaman dan perlindungan 500,000 pokok menjelang 2030, demikian menurut kenyataan Sarawak Energy pada Jumaat (20 Feb 2026).

“Inisiatif berkenaan turut selaras dengan sokongan syarikat terhadap Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), khususnya Matlamat 13 (Tindakan Iklim) dan Matlamat 15 (Kehidupan di Darat).

“Kira-kira 30 pegawai kanan dan kakitangan Sarawak Energy menyertai program berkenaan yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haji Sharbini Suhaili,” kenyataan itu dipetik.

Dalam kenyataan itu, Datuk Haji Sharbini memaklumkan, inisiatif seumpama itu menyokong komitmen Sarawak Energy untuk memastikan pembangunan tenaga boleh diperbaharui dilaksanakan dengan mengambil kira penjagaan ekosistem dan biodiversiti.

“Ini mencerminkan tanggungjawab kami untuk memastikan penjagaan alam sekitar terus menjadi sebahagian penting dalam perjalanan pertumbuhan Sarawak Energy.

“Melalui usaha berterusan dalam penanaman semula hutan dan pemulihan habitat, kami berhasrat menyumbang secara bermakna kepada pemeliharaan khazanah alam semula jadi Sarawak untuk generasi akan datang,” katanya.

Anak pokok yang ditanam merangkumi spesies tempatan termasuk kara (Ficus variegata), cempedak (Artocarpus integer), terap (Artocarpus odoratissimus), kasai (Pometia pinnata) dan pulur (Aglaia), yang dipilih bagi menyokong pemulihan ekologi serta meningkatkan kepelbagaian habitat dalam kawasan rizab berkenaan.

Rizab Semula Jadi Piasau merupakan kawasan perlindungan bandar yang penting dan terkenal dengan populasi burung kenyalangnya.

Program penanaman itu menyumbang kepada pengukuhan biodiversiti bandar serta menyokong usaha pemuliharaan berterusan dalam kawasan yang pesat membangun.

Para peserta turut melawat pusat pelawat rizab berkenaan dan diberi taklimat mengenai inisiatif penanaman semula hutan dan pemuliharaan yang sedang dilaksanakan, termasuk usaha melindungi dan memulihkan habitat burung kenyalang.

Sehingga 26 Disember 2025, Sarawak Energy telah menanam lebih 247,000 pokok di seluruh negeri di bawah kempen berkenaan, termasuk lebih 58,000 pokok yang ditanam sepanjang 2025 sahaja, sebagai kemajuan ke arah sasaran 500,000 pokok menjelang 2030.

Kempen itu mencerminkan komitmen menyeluruh Sarawak Energy dalam mengimbangi pembangunan tenaga dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar, selaras aspirasi pertumbuhan mampan Sarawak.