Di sebuah rumah panjang jauh di pedalaman Ulu Baram, Franklin George berdiri di hadapan sekumpulan anak muda, menerangkan dengan sabar tentang apa yang bakal mereka tempuhi, jadual latihan, pensijilan serta peluang penempatan kerja.
Ada yang mendengar dengan tenang. Ada juga yang bertanya soalan praktikal, sejauh mana perlu merantau, berapa lama meninggalkan keluarga dan sama ada mereka boleh pulang ketika musim penting di kampung.
Franklin menjawab dalam campuran bahasa Melayu dan bahasa Penan, beralih dengan lancar antara kedua-duanya. Dia memahami kebimbangan itu, malah sebelum ia diluahkan sepenuhnya. Dia pernah melalui kehidupan yang sama, membesar dalam keluarga Penan, komuniti nomad terakhir di Sarawak.
Kini, Franklin merupakan Eksekutif di PETRONAS yang berpangkalan di Miri. Beliau mengendalikan inisiatif komuniti yang menghubungkan belia luar bandar dengan latihan kemahiran dan peluang pekerjaan, satu tugas yang amat dekat di hatinya.
Franklin memulakan kerjaya bersama PETRONAS pada 2022 sebagai sebahagian daripada pasukan Sabah–Sarawak Gas Pipeline (SSGP). Pada 2025, beliau beralih ke pejabat wilayah PETRONAS Sarawak, namun masih memegang peranan yang sama.
Ketika bersama SSGP, beliau mula menerajui Re-skilling Community Programme (ReCP), iaitu inisiatif impak sosial PETRONAS yang membuka laluan pekerjaan kepada belia di kawasan luar bandar seperti Lawas, Limbang, Bintulu dan Miri.
Setiap kali menyusun jadual latihan dan mencari rakan penaja untuk para peserta, Franklin teringat zaman kecilnya, berdiri di belakang lori berlumpur, berpaut pada palang besi ketika meredah jalan balak di Ulu Baram.
Ketika itu, perjalanan sendiri sudah menjadi satu cabaran. Untuk ke sekolah atau ke bandar terdekat di Miri, mereka perlu mengharungi perjalanan berjam-jam di laluan mencabar.
“Long Kerong terletak di laluan ke Bario. Dari Miri, perjalanan mengambil masa lapan jam dalam cuaca baik sehingga ke jeti. Jika hujan, tempohnya lebih lama. Dari situ, perjalanan menaiki perahu kecil mengambil masa kira-kira dua jam, dan jika air cetek, boleh mencecah lima jam kerana perlu mengangkat atau menarik perahu,” katanya.
Pengalaman itu memberinya kefahaman mendalam tentang cabaran belia luar bandar hari ini. Usaha mendapatkan rakan latihan, menyelaras logistik di kawasan terpencil dan memastikan peserta benar-benar menerima latihan adalah antara cara beliau membantu mereka mengatasi halangan dan menterjemah peluang menjadi kenyataan.
Beliau bekerjasama dengan Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu dan TMR Technologies Sdn Bhd bagi menyediakan latihan teknikal seperti pemasangan perancah dan pemasangan mekanikal.

Sejak ReCP diperkenalkan pada 2024, Franklin bersama pasukannya telah melaksanakan latihan intensif jangka pendek selama satu hingga dua bulan kepada belia dari Lawas, Ulu Limbang, Baram, Tinjar, Niah dan Bintulu.
Hasilnya nyata. Pada 2024, seramai 33 belia berjaya mendapat pekerjaan, manakala 40 lagi pada 2025.
Mereka kini memiliki sijil kemahiran dan bekerja dengan syarikat seperti Crocker Engineering Sdn Bhd, Bina Harta Enterprise, Preveld Oil & Gas, Rahabco Engineering & Construction Bhd, Bintulu Scaffolding Sdn Bhd dan JL Expert Scaffolding.
Di sebalik angka itu, tersimpan kisah kecekalan.
“Salah seorang peserta pada 2024 bangun seawal jam 6 pagi dan menunggang motosikal melalui jalan balak untuk mengikuti latihan di Long Lama. Dalam perjalanan, tayarnya pancit tetapi dia berjaya menukarnya dan meneruskan perjalanan.
“Kemudian rantai motosikalnya pula putus dan dia terkandas di tengah hutan. Hari itu dia tidak sempat tiba. Tahun berikutnya, kami sediakan pengangkutan untuknya dan dia berjaya menamatkan latihan. Kini dia bekerja di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu,” katanya.
Bagi Franklin, kisah seperti itu memberi makna besar kepada tugasnya. Impaknya jelas dan mengubah kehidupan. Beliau memahami erti sebuah peluang dan mungkin melihat sebahagian daripada perjalanan hidupnya sendiri dalam diri belia-belia itu.
Sumbangannya bukan sekadar kemahiran mengurus program, tetapi berteraskan kepercayaan. Kepada komuniti yang dibantu, beliau bukan sahaja bertutur dalam bahasa mereka, tetapi memahami nilai, kebimbangan dan harapan mereka.
Beliau tahu keluarga di luar bandar akan menimbang dengan teliti soal jarak, perpisahan dan risiko kegagalan, apatah lagi tanpa jaringan keselamatan. Kefahaman itu lahir daripada pengalamannya sendiri membesar di perkampungan Penan yang terpencil.
Menempuh perjalanan jauh ke sekolah dan menyesuaikan diri sebagai antara segelintir pelajar Penan di SMK Temenggong Datuk Lawai Jau yang mempunyai hampir 600 pelajar, Franklin pernah merasakan pulang ke kampung mungkin pilihan lebih selamat.
Namun, sokongan praktikal mengubah segalanya. Pengetua sekolah, Cikgu Mering Jok Eng, menawarkan tempat tinggal, berkongsi makanan dan ruang belajar serta memberikan sokongan pada waktu yang amat diperlukan.
Sokongan itu menjadi inspirasi dalam caranya membantu belia hari ini. Apabila ibu bapa ragu-ragu, beliau berusaha menyediakan bantuan yang sama seperti pernah diterimanya.
Langkah Franklin ke menara gading pula dipandu oleh Ezra Uda, antara individu Penan terawal menamatkan pengajian universiti dan menjadi inspirasi kepada ramai belia Penan.
Ketika Ezra mengunjungi SMK Marudi bersama Persatuan Pembangunan dan Pendidikan Penan Sarawak (PADE) untuk ceramah kerjaya, Franklin menyerahkan urusan pendaftaran universitinya kepada beliau. Ezra mendaftarkan Franklin di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam bidang Sains Sosial.
Perjalanannya kemudian membawa beliau ke Institute of Social Informatics and Technological Innovations (ISITI), kembali meneliti komuniti luar bandar termasuk kampung halamannya di Ulu Baram.
Melalui penyelidikan, beliau mendokumentasikan ilmu masyarakat Penan seperti bahasa isyarat “Oroo”, herba tradisional dan kisah orang tua agar tidak hilang ditelan zaman. Sebanyak 53 jenis herba tradisional direkodkan di Long Kerong, Long Sait dan Long Speigen.
Selepas tamat pengajian, Franklin meneruskan penyelidikan walaupun hala tuju kerjayanya masih belum pasti, sehinggalah John Fery tampil memberi dorongan.
John, dipercayai antara individu Penan terawal bekerja di PETRONAS, menggalakkan Franklin memohon pekerjaan. Pada awalnya beliau ragu-ragu kerana merasakan PETRONAS terlalu jauh untuk dicapai. Namun John terus membimbingnya melalui proses permohonan.
Ketika sesi temu duga, Franklin hanya berkongsi secara jujur tentang kampung halaman dan hubungannya dengan komuniti. Tanpa cuba berlebihan, beliau tetap memberi kesan.
Empat tahun bersama PETRONAS, Franklin kini bekerjasama rapat dengan komuniti dan rakan industri, membina kepercayaan serta mewujudkan peluang yang sejajar dengan matlamat syarikat, iaitu satu misi yang dibentuk daripada bimbingan dan sokongan yang pernah diterimanya sebagai anak Penan.
Melalui PETRONAS, beliau belajar bagaimana sesuatu peluang boleh diterjemah menjadi impak sebenar iaitu disusun, diperkukuh dan diperluas agar lebih ramai belia mendapat manfaat.
Hari ini, beliau kembali berdiri di rumah-rumah panjang, berkongsi kemungkinan masa depan dengan anak-anak muda yang ibu bapa mereka masih ragu-ragu untuk melepaskan.
Seperti Cikgu Mering, Ezra Uda dan John Fery sebelum ini, Franklin George meneruskan tanggungjawab itu dengan membuka laluan yang mungkin suatu ketika dahulu sukar dicapai.
