Sarawak Energy menerima pensijilan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) ISO 37001:2025 sebagai pengiktirafan terhadap komitmennya dalam memperkukuh tadbir urus, integriti dan akauntabiliti.
Sarawak Energy dalam kenyataan memaklumkan, pensijilan itu merupakan yang ketujuh diperoleh syarikat bagi sistem pengurusan ISO, meliputi skop sistem pengurusan penipuan, rasuah dan salah guna kuasa bagi fungsi korporat.
Menurut kenyataan itu, sijil berkenaan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif NIOSH Certification, Syamsul Zahrin Zainudin kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Haji Sharbini Suhaili pada majlis di Menara Sarawak Energy, 8 April lalu.
Majlis itu turut disaksikan Ahli Lembaga Pengarah Sarawak Energy, Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Haji Abdul Ghani serta Pengarah NIOSH Certification, Thomas Balan Bang, selain kehadiran pengurusan kanan syarikat dan pasukan berkaitan.
Naib Presiden Kanan Perundangan dan Pematuhan Sarawak Energy, George Chapman, berkata pensijilan itu mencerminkan usaha berterusan organisasi dalam menegakkan integriti, etika dan tadbir urus baik dengan pendekatan toleransi sifar terhadap penipuan, rasuah dan salah guna kuasa.
“Pematuhan kepada piawaian ISO ini meningkatkan kepercayaan dan keyakinan dalam urus niaga perniagaan kami serta mengukuhkan reputasi Sarawak Energy,” katanya dalam kenyataan yang bertarikh 13 April 2026 (Isnin).
Menurut kenyataan itu, pensijilan berkenaan diperoleh selepas melalui audit menyeluruh oleh NIOSH Certification Sdn Bhd (NCSB) dengan pemerhatian wakil Jabatan Standard Malaysia (DSM), selain melengkapkan audit Tahap 1 dan Tahap 2 pada 2025.
Tambah kenyataan itu, piawaian ISO 37001:2025 menyokong Polisi Anti-Rasuah dan Anti-Salah Guna Sarawak Energy serta membantu mengurus risiko berkaitan di samping memperkukuh kawalan dalaman dan proses organisasi.
Piawaian yang dikemas kini itu turut memberi penekanan terhadap risiko baharu termasuk berkaitan aktiviti perubahan iklim, selain mengekalkan fokus kepada amalan beretika di semua peringkat organisasi.
Pensijilan ABMS itu juga mencerminkan pelaksanaan prosedur selaras Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Pindaan 2018) dalam mengurus risiko liabiliti korporat berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.
Sarawak Energy turut melaksanakan Sistem Pengurusan Bersepadu (IMS) bagi menyelaraskan sistem pengurusan ISO di seluruh organisasi dan menyasarkan peluasan pensijilan ABMS secara berperingkat ke seluruh kumpulan.
