Mural Dock Lane rakam sejarah waterfront Kuching dalam kanvas visual

Satu mural baharu di Dock Lane bukan sekadar memperindah landskap bandar, sebaliknya berfungsi sebagai “buku sejarah visual” yang merakam evolusi waterfront Kuching dari era perdagangan maritim hingga ke kehidupan komuniti masa kini.

Inisiatif oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu menampilkan karya seni awam yang menggabungkan elemen sejarah, budaya dan kehidupan masyarakat tempatan dalam satu komposisi visual yang menyeluruh.

Mural berkenaan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Ahad (5 April 2026).

DBKU dalam kenyataan memaklumkan, karya itu mengangkat tema “Left to Right Flow: The Timeline of Kuching’s Waterfront Legacy” yang menggambarkan perjalanan masa bandar raya Kuching secara kronologi, bermula dengan bot tradisional seperti penambang dan kapal layar yang menyusuri Sungai Sarawak sebagai simbol awal aktiviti perdagangan sejak era Brooke.

Naratif visual itu diteruskan dengan paparan Brooke Dockyard lengkap dengan elemen kren dan kapal, mencerminkan kegemilangan industri pembinaan kapal dan kejuruteraan di negeri ini suatu ketika dahulu.

Turut diketengahkan ialah peranan golongan pekerja melalui gambaran buruh pelabuhan dan tukang kimpal, yang diilhamkan daripada foto-foto lama sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka dalam pembangunan waterfront Kuching.

Selain itu, elemen budaya tempatan diserlahkan menerusi imej penyediaan kolo mee Sarawak serta aktiviti perdagangan yang menggambarkan kesibukan ekonomi pada masa lalu.

Latar belakang mural turut menampilkan bangunan bersejarah seperti Masjid India dan Bangunan Muzium Sarawak Lama, sekali gus mencerminkan kepelbagaian budaya serta nilai warisan seni bina bandar raya ini.

Karya tersebut dihasilkan oleh pelukis tempatan terkenal, Kong Chak Kiong atau lebih dikenali sebagai Jagung, dan disiapkan dalam tempoh 10 hari.

Menggunakan pendekatan seni kontemporari berinspirasikan gaya “stained glass”, mural itu menampilkan garisan yang jelas serta warna terang bagi memastikan ia kekal menarik dan mudah difahami sebagai medium penceritaan visual.

Projek berkenaan bukan sahaja bertujuan memperindah persekitaran bandar, malah berperanan mendidik masyarakat tempatan dan pelancong mengenai sejarah perkembangan waterfront Kuching serta kekayaan budaya Sarawak.

Inisiatif itu juga diharap dapat menjadi mercu tanda baharu bandar raya serta meningkatkan apresiasi masyarakat terhadap seni awam dan warisan tempatan.