MIRI, 14 April – Latihan kemahiran yang disediakan Petronas membuka ruang kepada belia pedalaman Sarawak untuk meningkatkan taraf sosioekonomi mereka, sekali gus membolehkan mereka menjadi tenaga mahir industri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau, berkata peluang itu amat bermakna khususnya kepada anak-anak dari kawasan pedalaman seperti Baram yang terpaksa menempuh pelbagai cabaran demi mengubah masa depan.
Beliau berkata, perjalanan peserta yang meredah sungai, melalui jalan balak berjam-jam serta meninggalkan keluarga dan kampung halaman membuktikan kesungguhan tinggi untuk berjaya.
“Di sebalik kejayaan saudara dan saudari hari ini, ada pengorbanan yang tidak ternilai daripada keluarga yang sabar menunggu dan sentiasa mendoakan kejayaan anak-anak mereka.
“Hari ini, pengorbanan itu tidak sia-sia. Kejayaan ini bukan sahaja milik anda, tetapi juga milik keluarga dan komuniti,” katanya ketika berucap pada Program Memacu Kehidupan: Majlis Tamat Latihan Perancah Besi Tahap 2 di ADTEC Miri di Miri pada Isnin (13 April 2026).
Dennis berkata, kekuatan sebenar anak-anak pedalaman terletak pada kesabaran, ketahanan jiwa dan semangat juang tinggi, sekali gus membolehkan mereka bersaing dalam bidang kemahiran.
Mengulas lanjut, beliau berkata projek Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) oleh Petronas yang melalui kawasan Telang Usan dan Baram turut menjadi penyumbang pembangunan kawasan itu.
Katanya, projek yang dimulakan lebih sedekad lalu bukan sahaja membawa infrastruktur tenaga strategik kepada negara, malah membuka akses jalan, peluang ekonomi serta pekerjaan kepada masyarakat setempat.
“Walaupun tidak semua anak tempatan dapat merebut peluang pada peringkat awal kerana kekangan kemahiran dan pendedahan, inisiatif latihan yang diteruskan hari ini menjadi kesinambungan penting untuk merapatkan jurang tersebut.
“Ia memastikan anak-anak tempatan bukan sekadar menonton pembangunan, tetapi menjadi pemain utama dan tenaga mahir dalam industri,” katanya.
Beliau berkata, sijil latihan yang diperoleh juga mempunyai nilai tinggi dan diyakini mampu meningkatkan kebolehpasaran peserta dalam pasaran kerja.
Dalam pada itu, beliau berkata usaha memperkasa belia melalui latihan kemahiran adalah selari dengan agenda pembangunan negeri di bawah Post COVID-19 Development Strategy (PCDS) 2030 yang menekankan pembangunan modal insan.
“Apabila anak-anak muda ini pulang ke kampung, mereka bukan sahaja membawa sijil, tetapi juga aspirasi untuk mengubah kehidupan keluarga dan komuniti. Kita mahu mereka bukan sahaja mencari peluang, tetapi mencipta peluang,” katanya.
Beliau yakin belia dari Baram dan seluruh Sarawak bukan sahaja mempunyai kekuatan fizikal, tetapi juga kekuatan semangat untuk menjadi tenaga kerja mahir, pendidik serta pemimpin pada masa hadapan.
“Yang berada di hadapan saya hari ini bukan sekadar peserta latihan, tetapi satu gelombang kebangkitan baharu anak muda luar bandar Sarawak. Kita tidak akan membiarkan anak-anak pedalaman terus dipinggirkan. Hari ini kita bangkit dan membuktikannya,” katanya.