MIRI, 14 April – Petronas terus memperkukuh komitmennya dalam membangunkan bakat tempatan menerusi pelaksanaan program latihan berstruktur bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran belia di Sarawak.
Pengurus Besar Kanan Petronas Carigali Sdn Bhd (Aset Sarawak), Shalby Reduan berkata, syarikat sentiasa memberi penekanan terhadap kemampanan pembangunan sosioekonomi komuniti setempat khususnya di kawasan operasi seperti Miri, Bintulu, Baram, Ulu Limbang dan Lawas.
Beliau berkata, Program Latihan Perancah Besi (Scaffolding) Tahap 2 yang berlangsung dari 6 hingga 12 April lalu dianjurkan dengan kerjasama ADTEC Miri dan TMR Technologies Sdn Bhd sebagai usaha meningkatkan kemahiran teknikal belia luar bandar melalui pensijilan profesional.
“Program ini melibatkan 10 peserta terpilih daripada latihan Tahap 1 yang diadakan pada Mei 2024, terdiri daripada belia pelbagai latar belakang termasuk Iban, Lun Bawang dan Penan dari kawasan Lawas, Ulu Limbang, Baram dan Bintulu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Memacu Kehidupan: Majlis Tamat Latihan Perancah Besi Tahap 2 di Dewan Auditorium, ADTEC Miri (ILP Miri) pada Isnin (13 April 2026).
Menurutnya, kesemua peserta terbabit sebelum ini telah berjaya memperoleh peluang pekerjaan dalam syarikat perkhidmatan kejuruteraan serta industri minyak dan gas tempatan sejurus menamatkan latihan Tahap 1.
Beliau berkata, peningkatan kemahiran ke Tahap 2 dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan selain meningkatkan kebolehpasaran peserta dalam industri.
Dalam pada itu, Shalby berkata, sokongan rakan industri memainkan peranan penting dalam menjayakan program berkenaan, selari dengan pendekatan kerjasama yang menjadi antara fokus utama Petronas pada tahun ini.
“Kerjasama dengan institusi latihan dan syarikat tempatan amat penting bagi memastikan pembangunan bakat dapat dilaksanakan secara mampan serta memberi manfaat kepada komuniti,” katanya.
Tambah beliau, Petronas merancang untuk memperluaskan lagi inisiatif pembangunan kemahiran pada 2026 dengan melibatkan lebih ramai peserta melalui latihan Tahap 1 dan Tahap 2 serta kursus keusahawanan.
Katanya, usaha itu diharap dapat membantu meningkatkan taraf sosioekonomi belia selain menyumbang kepada pembangunan negeri Sarawak secara keseluruhan.