Sarawak Metro terima pengiktirafan DOSH bagi 12.5 juta jam bekerja selamat

Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) baru-baru ini menerima pengiktirafan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Malaysia atas usaha mencapai 12,508,932 jam bekerja selamat tanpa kecederaan hilang masa (LTI).

“Anugerah Pencapaian Keselamatan” itu disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah DOSH Malaysia, Bahrudin Mamat semasa lawatan beliau ke tapak pembinaan stesen pertukaran ART SR10 projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Selain itu, “Anugerah Penghargaan” turut disampaikan kepada kontraktor utama atas sumbangan mereka dalam mencapai pencapaian penting tersebut.

Antaranya ialah kontraktor projek KUTS bagi Laluan Merah, Sri Datai JT CHM Sdn Bhd; kontraktor Depoh ART Rembus, AZAM IJMC UDSB Sdn Bhd; kontraktor Laluan Biru Pakej 1, Ibraco CREC JV; kontraktor Laluan Biru Pakej 2, Perbena Emas Sdn Bhd-CRFG Co Ltd JV; serta kontraktor Pakej Sistem 1, EPR MOBILUS Global Rail JV.

Pada hari sama, Bahrudin yang diiringi Pengarah DOSH Sarawak, Jamadi Yusup turut melawat tapak pembinaan stesen pertukaran ART SR10 bagi meninjau perkembangan kerja.

Delegasi DOSH juga berpeluang melawat Kemudahan Pemasangan Autonomous Rapid Transit Kuching (KAAF) di Demak Laut.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro, Ts. Mazli Mustaffa menzahirkan penghargaan kepada DOSH Malaysia atas anugerah yang diberikan sebagai pengiktirafan terhadap usaha syarikat mengutamakan keselamatan di tempat kerja.

“Pencapaian ini menjadi peringatan tepat pada masanya kepada seluruh warga Sarawak Metro untuk terus mengutamakan keselamatan, khususnya ketika fasa pembinaan projek KUTS semakin giat dilaksanakan.

“Justeru, amat penting untuk kita menerapkan budaya keselamatan yang kukuh dan ini termasuk semua kontraktor memainkan peranan masing-masing dalam usaha ini,” katanya.

Beliau menambah, Sarawak Metro kekal komited mengekalkan standard keselamatan dan kesihatan tertinggi dalam semua operasinya, bagi memastikan setiap pencapaian dicapai berasaskan budaya keselamatan, tanggungjawab dan keprihatinan terhadap tenaga kerja serta pihak berkepentingan.