Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching Baharu (NKIA) yang dirancang di Tanjung Embang bakal dibangunkan dengan kapasiti awal 15 juta penumpang setahun, sekali gus muncul sebagai antara pemacu utama transformasi ekonomi dan pembangunan hab rendah karbon Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kapasiti itu juga boleh diperluaskan sehingga 60 juta penumpang pada masa depan selaras pertumbuhan ekonomi, peningkatan permintaan perjalanan udara dan perkembangan industri penerbangan serantau.
“NKIA akan dibangunkan sebagai hab penerbangan masa depan yang bersedia memenuhi keperluan semasa dan akan datang, dengan kapasiti awal 15 juta penumpang setahun yang boleh ditingkatkan sehingga 60 juta penumpang.
“Ia akan meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang, logistik kargo udara serta perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO),” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Rabu (20 Mei 2026).
Menurut beliau, projek itu merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH) di Tanjung Embang yang dirangka berteraskan kelestarian, inovasi dan pelaburan bernilai tinggi.
Katanya, KLCH akan disokong bekalan gas asli bagi menyediakan sumber tenaga rendah karbon yang stabil untuk industri seperti pembuatan maju, pemprosesan makanan, ekonomi digital dan aktiviti ekonomi kitaran.
“Dengan lokasi strategik dan infrastruktur yang dikongsi bersama, Tanjung Embang berada pada kedudukan terbaik untuk muncul sebagai pintu masuk rendah karbon yang kompetitif bagi perdagangan, logistik dan industri hijau,” katanya.
Abang Johari berkata, selain NKIA, pelan induk kawasan itu turut melibatkan pembangunan pelabuhan laut dalam yang mampu mengendalikan jumlah kargo lebih besar serta memperkukuh hubungan perdagangan Sarawak dengan rantaian bekalan serantau dan global.
Beliau berkata, pelabuhan itu juga akan melengkapkan peranan hab industri sedia ada termasuk di Bintulu dan Samalaju.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan Sarawak kini sedang memuktamadkan pelan induk terperinci pembangunan berkenaan, dengan kerja pembangunan fizikal dan infrastruktur dijangka bermula pada 2027 menerusi pendekatan kerjasama awam-swasta (PPP).
Terdahulu, beliau berkata Sarawak turut merancang pembangunan Kampus Data AI Kuching di Tanjung Embang sebagai pemangkin kepada ekosistem grid kecerdasan buatan (AI) masa depan negeri itu.
Menurut beliau, tapak seluas 405 hektar telah dikenal pasti bagi pembangunan kampus berkenaan yang akan dilengkapi bekalan tenaga dan air khusus untuk menyokong operasi pusat data, pengkomputeran AI serta rangkaian kesalinghubungan digital.