AirBorneo bantu penumpang terjejas urus tempahan semula, bayaran balik

AirBorneo telah menghubungi penumpang yang terjejas akibat kelewatan dan pembatalan penerbangan bagi membantu urusan tempahan semula, bayaran balik dan sokongan perjalanan lain.

Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo Airways Sdn Bhd, Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin berkata, syarikat itu memahami kesan gangguan berkenaan terhadap penumpang dan keluarga mereka serta kesulitan dan kekecewaan yang dialami.

Beliau turut memohon maaf atas gangguan, kesulitan dan ketidakpastian yang berlaku susulan kelewatan dan pembatalan penerbangan yang menjejaskan rancangan perjalanan sebahagian penumpang di Sarawak dan Sabah.

Menurutnya, gangguan itu berlaku apabila beberapa pesawat tidak dapat beroperasi pada masa yang sama susulan keperluan penyelenggaraan dan kerja pembaikan teknikal.

“Walaupun keselamatan kekal menjadi keutamaan kami, kami mengiktiraf kesan gangguan ini terhadap komuniti yang bergantung kepada perkhidmatan kami setiap hari,” katanya dalam kenyataan pada Rabu (10 Jun).

Beliau berkata, pasukan AirBorneo kini bekerja sepanjang masa untuk memulihkan operasi seperti biasa secepat mungkin.

Katanya, syarikat itu telah menggerakkan sumber tambahan untuk mengembalikan pesawat ke dalam perkhidmatan, mempercepatkan ketibaan alat ganti yang diperlukan dan mengurangkan gangguan selanjutnya di mana yang boleh.

Pada masa sama, beliau berkata AirBorneo turut mengambil langkah memperkukuh kebolehpercayaan operasinya.

“Seperti yang diumumkan awal tahun ini, kami akan memperkenalkan pesawat ATR 72-600 baharu secara berperingkat sebagai sebahagian daripada usaha pembaharuan pesawat kami yang sedang berjalan.

“Walaupun penambahbaikan ini akan mengambil masa untuk direalisasikan sepenuhnya, ia merupakan pelaburan penting dalam menyediakan perkhidmatan yang selamat, boleh dipercayai dan diyakini oleh para penumpang,” katanya.

Megat Ardian berkata, apabila perlu, AirBorneo turut menyediakan makanan, penginapan dan pengangkutan darat kepada penumpang yang terjejas.

Beliau berkata, penumpang yang memerlukan bantuan lanjut atau mempunyai pertanyaan mengenai pelan perjalanan mereka boleh menghubungi pasukan khidmat pelanggan AirBorneo.

“Fokus kami kekal untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang selamat dan boleh dipercayai kepada para penumpang sambil terus berkhidmat kepada rakyat Sarawak dan Sabah serta menghubungkan komuniti kami.

“Terima kasih atas kesabaran, pemahaman dan sokongan berterusan anda,” katanya.