Kereta dinaiki lima sekeluarga hilang kawalan ketika memotong traktor

Pada 3 Jun 2026, kira-kira jam 8.30 pagi, pihak polis telah menerima satu laporan berhubung kemalangan jalan raya maut yang melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Bezza yang dipandu oleh seorang warga tempatan di Jalan Engsengei, Kampung Lubok Ria, Serian, Sarawak.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Haji Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku pada hari yang sama kira-kira jam 8.10 pagi. Kenderaan Perodua Bezza yang datang dari arah Kampung Lubok Ria menuju ke Serian dipercayai hilang kawalan semasa memotong sebuah traktor yang bergerak di arah yang sama.

“Kenderaan tersebut kemudian terbabas, melanggar paip besi di bahu kanan jalan sebelum terjunam ke dalam parit besar berair dalam keadaan terbalik.

“Akibat kemalangan tersebut, seramai lima mangsa termasuk pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik dari Hospital Serian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) ingin menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta peka dan berhati-hati terhadap keadaan persekitaran semasa berada di jalan raya, terutamanya di kawasan selekoh, simpang keluar/masuk serta pada waktu awal pagi di mana tahap penglihatan adalah terhad.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian ini kerana ia boleh mengganggu proses siasatan pihak polis,” katanya.