Penemuan manuskrip Sultan Tengah buka lembaran baharu kajian sejarah Sarawak

Penemuan sebuah manuskrip Jawi klasik yang dipercayai ditulis sendiri oleh Sultan Tengah disifatkan sebagai satu penemuan penting yang berpotensi membuka lembaran baharu dalam kajian sejarah Sarawak.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penemuan itu merupakan antara hasil penyelidikan yang akan dibentangkan kepada Majlis Warisan Sarawak (SHC) oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak.

Beliau berkata, manuskrip berkenaan mempunyai nilai sejarah yang tinggi kerana ia dikaitkan secara langsung dengan Sultan Tengah, tokoh yang sering dirujuk sebagai Sultan Sarawak pertama.

“Penemuan ini amat signifikan kerana ia boleh membantu memperkayakan lagi pemahaman kita terhadap sejarah awal Sarawak, khususnya berkaitan pemerintahan Sultan Tengah dan perkembangan Kesultanan Brunei di wilayah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Majlis Warisan Sarawak Bilangan 1/2026 di Kuching pada Khamis (11 Jun).

Menurut Abdul Karim, pembentangan hasil penyelidikan manuskrip Nusantara dan Sarawak itu akan disampaikan oleh Prof Datuk Dr Jamil Hamali, Prof Madya Dr Saimi Bujang dan Prof Madya Dr Abdul Razak Abdul Kadir dari UiTM Sarawak.

Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat berkenaan turut membincangkan enam cadangan pewartaan di bawah Ordinan Warisan Sarawak 2019 sebagai sebahagian usaha berterusan melindungi aset warisan negeri.

Katanya, setakat ini Sarawak mempunyai 80 tapak warisan yang telah diwartakan, merangkumi 45 bangunan, 19 monumen, 15 tapak warisan dan satu tapak warisan bawah air.

Beliau berharap perbincangan yang berlangsung dapat memperkukuh usaha pemuliharaan dan pendokumentasian warisan Sarawak demi manfaat generasi akan datang.