Dua muzium baharu tarik lebih 53,000 pengunjung

Dua institusi muzium baharu di Sarawak berjaya menarik lebih 53,000 pengunjung sejak dibuka, mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap sejarah dan warisan negeri.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Muzium Industri Limbungan Brooke yang dilancarkan pada 20 April lalu merekodkan 37,126 pengunjung setakat 31 Mei 2026.

Beliau berkata, Taman Arkeologi Santubong yang dibuka secara rasmi pada 4 Oktober 2025 pula menerima 16,758 pengunjung sehingga kini.

“Kedua-dua pencapaian ini merupakan satu langkah besar dalam usaha memelihara dan meraikan sejarah Sarawak yang pelbagai,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Majlis Warisan Sarawak Bilangan 1/2026 di Kuching pada Khamis.

Menurut beliau, prestasi keseluruhan muzium di Sarawak juga kekal memberangsangkan apabila jumlah kehadiran pengunjung ke 21 muzium dan galeri di seluruh negeri mencecah 197,736 orang setakat 31 Mei lalu.

Abdul Karim berkata, sambutan yang diterima menunjukkan minat masyarakat terhadap sejarah, budaya dan warisan negeri terus berkembang.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Muzium Sarawak atas kejayaan merealisasikan kedua-dua projek berkenaan yang disifatkan sebagai pencapaian penting dalam pembangunan sektor warisan dan pelancongan negeri.

Katanya, kerajaan negeri akan terus menyokong usaha memperkukuh institusi warisan bagi memastikan sejarah Sarawak dapat dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.